SETIAP pagi menjadi rutin harian Abdul Salam Khamsah, 43, untuk melihat ikan tilapia merah peliharaannya di dalam sebuah tangki air yang terletak di bahagian garaj rumahnya.
Dia berbuat demikian bagi melihat gelagat ikan tersebut yang turut menjadi ‘petanda’ berkaitan tanaman yang diusahakannya.
“Jika ikan bermain di atas permukaan air dan mencungap itu maknanya kualiti air kurang cantik.
“Bagi mengatasi masalah tersebut, saya ada tiga cara untuk mengatasinya sama ada menukar air, memasukkan daun ketapang atau menggunakan cecair Mikroorganisma Berkesan (EM) di dalam air tersebut,” katanya kepada K2.
Jelasnya, kebiasaannya dia akan menggunakan cecair EM bagi mengatasi masalah tersebut kerana lebih mudah.

Abdul Salam yang menetap di Klang, Selangor menerangkan, menjaga kualiti air itu penting bukan sekadar untuk ikan yang dipeliharanya tetapi untuk tanaman-tanaman yang ditanamnya menggunakan sistem akuaponik.
Dia merupakan seorang pengusaha pertanian berkonsepkan akuaponik.Sistem akuaponik adalah gabungan akuakultur iaitu penternakan ikan atau organisma akuatik lain bersama hidroponik iaitu kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan tumbuhan pada air bernutrien tanpa menggunakan tanah sekali gus mampu menuai hasil tanaman dan ikan dalam jangka masa singkat.
“Akuaponik berfungsi dengan cara air dari tangki ternakan ikan ini akan mengalir ke ruangan tanaman di unit hidroponik.
“Sisa kumbahan daripada ikan akan diuraikan oleh bakteria kepada beberapa komponen nutrisi yang mana akan digunakan oleh tumbuh-tumbuhan untuk membesar,” terang Abdul Salam.
Dalam pada itu, kualiti air amat penting dalam akuaponik dan ia merupakan medium mengandungi nutrisi untuk dibekalkan kepada tanaman.
Bagi tujuan tersebut, sistem solid lifting outlet (SLO) digunakan untuk mengasingkan najis ikan di dasar dan yang terapung di permukaan air atau apa-apa unsur lain dalam tangki ikan tersebut.
Kotoran itu akan disedut melalui SLO dan kemudiannya disalurkan secara graviti ke penapis pepejal. Penapis pepejal kebiasaan digunakan di dalam sistem akuaponik untuk menapis sisa najis ikan berbentuk pepejal.
Seterusnya kotoran itu akan mengalir ke biopenapis dilengkapi K1 biomedia yang berfungsi untuk membenarkan bakteria menguraikan najis-najis ikan secara semula jadi.
Secara biologi, sistem ini memberi ruang kepada mikroorganisma dan bakteria untuk membiak dan membentuk komponen nutrisi yang diperlukan oleh tumbuhan.
Nutrisi itu yang bercampur dengan air kemudian akan dialirkan ke ruangan tanaman sebelum dialirkan semula ke tangki ternakan ikan.

Sementara itu, Abdul Salam menjelaskan, untuk akuaponik, dia mengguna pakai dua kaedah penanaman iaitu nutrient film technique (NFT) dan teknik gutter.
Menurutnya, bagi kaedah NFT, dia akan meletakkan kepingan span kecil di dalam bekas khas bagi memegang batang dan akar sayuran.
“Air akan disalurkan melalui tiub dan mengalir 24 jam, maka secara tidak langsung kadar tumbesaran tumbuhan akan menjadi lebih cepat.
“Kelebihan kaedah ini adalah ia ringan dan boleh dibuat juga secara menegak,” katanya.
Tambahnya, untuk kaedah NFT tumbuhan yang sesuai adalah tanaman berdaun seperti sawi, bayam, kailan dan lain-lain lagi.
Tempoh untuk menuai hasil juga agak cepat dan dalam masa tiga minggu tanaman melalui kaedah itu sudah boleh dituai.
Bagi teknik gutter pulak, ia berfungsi memberi nutrisi kepada tumbuhan dengan cara memenuhkan takungan dan mengalirkan air keluar dari takungan dalam tempoh masa tertentu.
“Melalui kaedah ini ia memerlukan penggunaan medium yang kasar seperti batu kerikil, hydroton atau perlite yang diletakkan di dalam pasu khas yang berfungsi menyerap nutrisi untuk diberikan kepada tumbuhan yang ditanam.
“Dalam masa sama alat yang dikenali sebagai siphon automatik akan digunakan untuk mengeringkan air daripada takungan bila diperlukan,” terangnya.

Abdul Salam menambah, untuk kaedah ini, tanaman yang sesuai adalah jenis berbuah seperti cili, terung, limau kasturi, bendi dan lain-lain lagi.
Sementara itu, jenis ikan yang sesuai untuk sistem akuaponik ini adalah ikan jenis air tawar seperti tilapia merah, keli, baung, patin dan kelah.
Untuk pemakanan ikan, dedak yang mengandungi nutrisi Crude Protein sebanyak 32 peratus atau lebih akan digunakan.
Ikan diberi makan dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang.Sukatan pemberian dedak pula bergantung kepada jumlah ikan yang dipelihara dan sekiranya ia tidak dihabiskan dalam masa lima minit, lebihan makanan yang terapung hendaklah dibuang.
Abdul Salam yang hanya menuai hasil tanaman untuk dinikmati keluarga atau diberikan kepada jiran-jiran menjelaskan, sebenarnya sistem akuaponik mudah dibangunkan kerana barang-barang untuk membangunkan sistem itu semuanya boleh didapati di kedai perkakasan.
“Dalam masa sama ruang yang diperlukan untuk membangunkan sistem ini juga tidak terlalu besar dan sesuai untuk perumahan yang memiliki tanah terhad.
“Kini, untuk belajar membangunkan sistem akuaponik juga cukup mudah di mana banyak platform yang menyediakan tunjuk ajar kepada mereka yang berminat,” katanya.
Dalam pada itu, berbicara tentang penglibatannya dalam pertanian akuaponik, Abdul Salam yang memiliki kelulusan dalam bidang teknologi maklumat menjelaskan, dia mula membangunkan sistem akuaponik pada tahun 2018.
Menurutnya, dia berbuat demikian kerana tidak mahu anak-anaknya banyak menghabiskan masa dengan gajet.
“Saya membangunkan sistem ini juga adalah untuk ‘terapi mata’ bagi anak-anak memandangkan anak sulung saya mengalami masalah rabun yang agak tinggi. Warna hijau tumbuh-tumbuhan boleh menjadi satu terapi kepada mata.
“Hasil carian saya juga mendapati di Australia, setiap rumah mempunyai sistem akuaponik dan dari situ saya mula belajar membangunkan sistem tersebut,” bicaranya.
Dia kemudian belajar di YouTube dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka yang mempunyai minat sama untuk membangunkan sistem akuaponik tersebut.
Abdul Salam mengambil masa hampir setahun lebih mencuba uji bagi mendapatkan sistem akuaponik yang sempurna mengikut reka bentuknya sendiri.
Kini, dia juga aktif berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat dengan sistem akuaponik.
“Saya turut bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi dalam memberikan latihan tentang sistem akuaponik. Selain itu, saya juga menganjurkan kelas kepada mereka yang berminat untuk membangunkan sistem ini,” terangnya.
Tambahnya, ramai yang berminat dengan sistem ini dan ada penduduk dari luar Lembah Klang yang sanggup datang ke rumahnya untuk mengikuti kelas tersebut sebelum ini.
Malah, baru-baru ada individu dari Brunei yang ingin hadir bagi mengikuti kelas yang dianjurkannya tetapi ia terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19.
Kongsi Abdul Salam, dia mempunyai perancangan untuk menghasilkan e-buku tentang sistem akuaponik pada masa hadapan untuk perkongsian kepada orang ramai.
















