fbpx

China larang stesen TV papar lelaki seakan perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI dan pelakon, Roy Wang Yuan daripada kumpulan TFBoys membuat persembahan ketika konsert solonya di Nanjing pada 2019. - Getty Images

BEIJING – Pemerintah China mengharamkan stesen penyiaran negara itu daripada memaparkan imej lelaki berpewatakan lembut dan mengarahkan untuk mempromosikan ‘budaya revolusi’ bagi memperluaskan kempen kawalan terhadap perniagaan dan masyarakat serta menegakkan moral rasmi, lapor saluran berita Fox News kelmarin.

Presiden Xi Jinping mengarahkan pelaksanaan ‘pembaharuan nasional’ itu dengan Parti Komunis China mengawal ketat perniagaan, pendidikan, budaya dan keagamaan dalam visi untuk menjadikan masyarakat China sebagai lebih kuat dan sihat.

Menurut undang-undang televisyen negara itu, stesen penyiaran perlu ‘menghentikan tayangan imej lelaki yang bersifat keperempuanan’.

Mereka turut diarahkan untuk menggunakan istilah berbentuk penghinaan kepada golongan itu yang dikenali sebagai ‘niang pao’ yang bermaksud ‘bersikap keperempuanan’.

Ia menggambarkan bahawa selebriti China yang dipengaruhi imej keperempuanan daripada penyanyi dan pelakon dari Korea Selatan serta Jepun gagal dalam menggalakkan golongan lelaki muda di negara itu untuk bersifat maskulin.

Selain itu, stesen penyiaran turut perlu berhenti mempromosikan ‘selebriti internet yang tidak sopan’ serta sikap mengagumi kekayaan golongan tersebut.

Mereka sebaliknya perlu mempromosikan budaya tradisional Cina, revolusi serta sosialis yang maju.

Selain itu, pemerintah turut mengenakan kawalan ketat terhadap selebriti dengan meminta stesen penyiaran untuk tidak menyiarkan selebriti yang ‘melanggar ketenteraman awam’ atau ‘tidak bermoral’.

Pelakon popular, Zhao Wei sebelum ini turut dilaporkan dipadam maklumatnya dari internet dan semua platform penstriman kerana dikatakan sering terlibat dengan kontroversi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI