fbpx
KEDUDUKAN ‘hotel mini’ ini dibina dengan mengambil kira kitaran terbit dan terbenam matahari untuk mengimbangi suhu dan pencahayaan dalam bangunan.

Tenang, damai fikiran bercuti di desa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI sesetengah orang, percutian di kawasan kampung atau desa amat mendamaikan selepas sekian lama menghadapi hiruk-pikuk kota yang menyesakkan dada.

Untuk itu, pilihlah rumah tumpangan, chalet atau inap desa di persekitaran kampung yang ‘disajikan’ dengan kehijauan pokok dan keindahan sawah padi menguning dengan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa yang mendamaikan.

Minggu ini, Horizon memilih rumah tumpangan atau boleh dipanggil hotel mini di Jalan Setulang Daeng, Jalan Pulau Gadong, Melaka yang  mampu memberikan suasana penginapan bertaraf eksklusif yang menghimpunkan gaya hidup sofistikated bandar dan suasana desa.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SIAPA sangka dua buah rumah berkeluasan hanya 7.9 x 3 meter (26 x 10 kaki) setiap satu mampu memberikan suasana penginapan bertaraf eksklusif yang menghimpunkan gaya hidup sofistikated bandar dan suasana desa.

Terletak di tengah-tengah bendang padi di Jalan Setulang Daeng, Jalan Pulau Gadong, Melaka, rumah tumpangan dinamakan Rumakici itu menjadi rebutan pengunjung bandar yang mencari peluang beristirahat.

Menurut pengasasnya, Mohd. Redzuwan Md. Amin, 38, ‘hotel mini’ moden itu dibina di atas lot dikelilingi sawah padi bagi memberi pengalaman luar biasa kepada pengunjung.

Katanya, walaupun kecil, Rumakici dilengkapi katil bersaiz queen di ruang loteng, sofa dwifungsi yang boleh dijadikan katil, perabot dan perkakas memasak.

“Kedua-dua rumah ini dilengkapi penyaman udara, katil, sofa dan dapur. Kita juga menyediakan kabin terbuka di luar sebagai tempat istirahat, selain meja makan untuk aktiviti barbeku.

“Istimewanya, kita bawakan elemen mewah penginapan iaitu kolam renang peribadi dewasa sedalam 1.4 meter dan menyediakan pelampung keselamatan untuk kanak-kanak,” katanya.

TANGGA di rumah ini ditempah khas dengan meneliti lebar dan ketinggian yang sesuai demi keselesaan pengunjung.

Bercerita mengenai pemandangan sawah padi, dia memberitahu, musim yang dinantikan adalah pada Februari, Mac, Julai dan Ogos yang mana suasana padi masak menguning menjadi latar belakang utama percutian.

“Kami tidak mempromosikan Rumakici di laman web atau Facebook, sebaliknya hanya memaklumkan mengenai slot dan musim padi masak di Instagram kerana tidak mahu mengecewakan orang ramai yang teruja untuk menginap di sini,” katanya.

Tambahnya, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, banyak tempahan yang masih tertunda, namun kesemua pelanggan tidak mahu mengambil semula bayaran.

Dalam pada itu, ujar Mohd. Redzuwan, terjemahan seni bina itu sememangnya dibuat secara berhati-hati dan penuh perincian bermula daripada pemilihan perabot, saiz tangga, pintu dan kedudukan tingkap hinggalah jenis tanaman yang dipilih bagi memastikan gabungan yang dibawakan tampak harmoni.

Selain membawakan mood penginapan mewah, lokasi ‘hotel mini’ itu agak strategik dengan jarak ke pekan berhampiran hanya 8 kilometer (km) sahaja.
Bagi penggemar Klebang Original Coconut Shake, jarak ke lokasi cuma 3.1km, manakala ke Kuih Keria Antarabangsa Warisan 4.3km.

“Jarak Rumakici untuk ke lokasi pelancongan lain tidak jauh, 4.8km ke Pantai Klebang,” katanya.

SUSUN atur dan pembelian perabot dilakukan terlebih dahulu sebelum Rumakici dibina bagi memastikan tema industrial dan maskulin dicapai.

Mengulas lanjut mengenai privacy penginapan itu, dia memberitahu, kedua-dua ‘hotel mini’ itu boleh ditempah dan didiami oleh 15 orang pada satu-satu masa.

“Pelanggan juga boleh menempah satu bangunan sahaja. Kita akan tawarkan slot yang sesuai dan akan menutup satu lagi bangunan untuk memastikan privacy pengunjung terjaga.

“Bagaimanapun, kita ada garis panduan penginapan untuk memastikan setiap pengunjung menikmati percutian dengan selesa termasuk tidak membenarkan penganjuran sebarang parti liar dan minuman alkohol.

Tempahan sebuah Rumakici bagi dua hari satu malam adalah RM360 (harga tetap) dan RM580 bagi kedua-dua bangunan dari Isnin hingga Khamis, manakala RM680 pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN