PERKENALAN Izah (bukan nama sebenar) dengan suaminya yang dikenali sebagai Indra sejak zaman persekolahan membawa mereka ke jenjang pelamin.
Sebaik Izah tamat pengajian di universiti, dia mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan hatinya itu.
“Suami saya adalah senior saya di sekolah. Selepas menamatkan pengajian di universiti, rezekinya murah dan diterima bekerja dalam sektor awam.
“Dia juga berasal dari keluarga yang agak senang. Atas atas sebab itu, kami mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia muda,” jelasnya.
Pada mulanya, kata Izah, keluarganya terutama abangnya menghalang perkahwinan tersebut.
Ini disebabkan abangnya mengetahui Indra terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Dibutakan dengan perasaan cinta, Izah tetap dengan keputusannya untuk berkahwin dengan Indra.
Pada ketika itu, dia mengesyaki abangnya sengaja mengadakan cerita buruk tentang Indra di hadapan kedua-dua orang tua mereka.
“Akhirnya keluarga akur dengan keputusan saya dan kami berdua disatukan sebagai pasangan suami isteri,” bicaranya.
Ketika tinggal di rumah mentua pada awal perkahwinan, semuanya baik-baik sahaja sehinggalah Izah dan Indra mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal di rumah sewa.
Di situ, barulah Izah mengetahui perangai dan tembelang sebenar suaminya yang selama ini disangka ‘malaikat’ itu.
Indra sering keluar malam dan pulang awal pagi dan memberi alasan dia keluar melepak bersama rakan-rakan.
Suaminya juga sering berjaga malam dan adakalanya ketika Izah tersedar daripada tidur, dia dapati Indra bercakap seorang diri seperti dalam keadaan khayal.
Akhirnya rahsia yang Indra sembunyikan selama ini terbongkar selepas Izah menemui paket ganja di dalam poket seluar suaminya ketika mahu membasuh pakaian.
“Saya meminta penjelasannya. Pada mulanya dia tidak mengaku dadah itu miliknya. Setelah didesak akhirnya dia mengaku mengambil ganja sekadar suka-suka sahaja,” katanya.
Izah sangat kecewa dengan perbuatan suaminya itu, namun dia tidak memberitahu hal itu kepada keluarganya.
Semakin hari dia melihat suaminya semakin tidak terurus dan kelihatan seperti seorang penagih tegar.
“Ada masanya dia bersendirian seorang diri selepas mengunci bilik.
“Tetapi selepas keluar, saya dapati dia dalam keadaan seperti selepas mengambil dadah,” tegas Izah.

Izah mengakui, dia sering bertengkar dengan suaminya dan meminta Indra meninggalkan tabiatnya itu kerana dia mengandungkan anak pertama mereka.
Pada ketika itu, Indra berjanji untuk meninggalkan tabiatnya itu.
Namun, semua itu hanya janji-janji kosong belaka kerana Indra sudah menjadi penagih tegar dan sukar membuang ketagihan dadah yang sudah sebati dalam dirinya sejak sekian lama.
Dalam pada itu, jelas Izah, disebabkan ketagihan dadah, suaminya yang dahulu bersikap penyayang berubah menjadi panas baran dan dia sering menjadi mangsa pukul Indra.
Selain itu, Izah menyatakan, kerana dadah juga, dia mendapati nafsu seks suaminya itu luar daripada kebiasaan.
Ada ketikanya dia terpaksa melayani nafsu suaminya itu beberapa kali dalam satu hari.
Tidak tahan diperlakukan sedemikian, Izah mengambil keputusan untuk pulang ke rumah keluarganya dan menceritakan hal sebenar kepada ibu bapanya.
“Ibu bapa saya terkejut dan sebolehnya mereka mahu saya berpisah dengan Indra.
“Saya juga terfikir untuk berbuat demikian. Akhirnya saya nekad dengan menghantar pesanan ringkas kepada Indra agar saya dilepaskan secara baik,” katanya.
Namun Indra enggan melepaskannya dengan alasan masih sayangkan Izah.
Bagi meredakan keadaan, keluarga suaminya datang untuk memujuk Izah agar memberi peluang kepada anak mereka.
Melihat ibu mertuanya menitiskan air mata sewaktu datang memujuknya, membuatkan Izah mengalah dan bersedia memberikan peluang kedua kepada suaminya itu.
“Saya memberitahu ibunya, jika anak mereka tidak berubah selepas ini, dia akan meminta dirinya dilepaskan,” tuturnya.
Peluang kedua yang diberikan Izah kepada suaminya itu tidak digunakan sebaiknya, malahan selepas melahirkan anak mereka, Indra masih terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Kecewa dengan sikap suaminya itu, Izah akhirnya telah memohon fasakh di mahkamah syariah meminta dirinya dilepaskan.
Izah mengambil keputusan itu demi masa depan anaknya.
Dia tidak mahu anaknya dibesarkan oleh ayah yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Akhirnya, keluarga suaminya akur dengan tuntutan Izah dan akhirnya mereka mencapai kata persetujuan untuk berpisah.














