fbpx

Bank Islam bantu 30,000 pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bank Islam sedia membantu pelanggan individu dan PKS terjejas ekoran pandemik.

PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) telah membantu hampir 30,000 pe­langgan individu dengan jumlah tertunggak sebanyak RM3.74 ­billion di bawah program bantuan bayaran balik yang bermula pada Ogos tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, di bawah program itu juga, lebih daripada 200 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MPKS) turut dibantu dengan melibatkan nilai lebih RM670 juta.

Selain itu, menurut beliau, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 1 Jun lalu, Bank Islam telah membantu seramai 5,251 pelanggan dengan jumlah pembiayaan tertunggak lebih daripada RM888 juta.

Jumlah ini termasuk 5,166 pe­langgan individu dengan pem­biayaan tertunggak bernilai lebih RM603 juta, manakala 85 permohonan daripada MPKS dengan melibatkan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM285 juta.

“Bank sentiasa komited memastikan pelanggan kekal berdaya tahan dalam tempoh yang tidak menentu ini.

“Kami telah memperkenalkan pelbagai bentuk pakej bantuan bayaran balik pembiayaan sejak pandemik ini bermula.

“Ia bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan yang amat diperlukan dalam tempoh mencabar ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Selain itu Mohd. Muazzam menjelaskan, susulan pengumuman Perdana Menteri berhubung pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), pihaknya kini menawarkan mo­ratorium enam bulan untuk pe­langgan daripada segmen B40, M40, T20 serta MPKS.

Jelas beliau, permohonan akan mula dibuka bermula 7 Julai ini.

“Melalui bantuan moratorium ini, pelanggan terkesan akan mempunyai tempoh selama enam bulan untuk memulihkan keadaan kewangan masing-­masing,” ujarnya.

Tambah beliau, industri perbankan Islam kini giat meningkatkan usaha menyokong segmen terkesan bagi menjamin kemampanan mereka sejak PKP mula diperkenalkan pada Mac 2020.

“Kami sedar akan kesan sekatan pergerakan yang berterusan ke atas perniagaan pelanggan kami, terutamanya MPKS.

“Keutamaan kami kekal untuk mengurangkan kekangan kewang­an pelanggan, terutama­nya sektor yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP,” ujarnya.

Bank Islam turut menawarkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) untuk pelanggan yang terlibat dalam sektor perkhidmatan dan Kemudahan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) bagi pelanggan dalam sektor pelancongan.

Selain itu, bank juga telah memper­kenalkan Kemudahan Automasi dan Digitalisasi PKS (ADF) bagi PKS yang memerlukan insentif untuk mengauto­masi proses dan pendigitalan operasi supaya lebih cekap.

Selain daripada bantuan bayaran mengikut keperluan, prog­ram penjadualan dan penstrukturan semula turut disediakan bagi pelanggan yang layak.

Di samping itu, bank turut proaktif dalam membantu ­pengusaha mikro terutamanya daripada kategori asnaf dan B40.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI