JELMAAN seekor angsa putih dari dalam tasik membuatkan Ahmad diserang histeria. –ILUSTRASI SHAH HASAN

Dihantui jelmaan angsa putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI seorang yang tidak percayakan benda-benda tahyul termasuk hantu, pemuda yang hanya dikenali sebagai Ahmad, 32, memandang sepi ceritan yang didengarnya mengenai kisah seram di universiti tempat dia belajar 10 tahun lalu.

Pada masa itu, cerita seram paling popular selain pocong dan pebagai ‘lembaga’, selain jelmaan seekor angsa putih yang mucul dari dalam tasik di dalam kampus.

Bagaimanapun, segalanya berubah selepas dia sendiri mengalami peristiwa menakutkan pada satu malam berjumpa dengan kelibat angsa putih seperti diceritakan seniornya selama ini dan dia terus mengalami histeria serta tidak sedarkan diri.

SETIAP kali mendengar kisah hantu yang diceritakan orang sekeliling, seorang pemuda yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 32, langsung tidak mempercayainya.

Berpegang pada prinsip yang diajar keluarganya sejak kecil, makhluk-makhluk itu semuanya didakwa hanya mainan imaginasi.

Justeru, sewaktu melanjutkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi di utara tanah air 10 tahun lalu, dia sering tertawa apabila mendengar kejadian-kejadian seram yang dikhabarkan kerap berlaku di kawasan kolej kediamannya.

Lebih menguatkan lagi prinsip hidup anak kelahiran Kuala Lumpur ini adalah, sepanjang hampir tiga tahun menginap di kolej tersebut, dia langsung tidak pernah terserempak dengan mana-mana ‘lembaga’ yang sering diperkatakan rakan-rakan.

“Pada malam pertama minggu orientasi, pelajar senior menakut-nakutkan kami dengan pelbagai peristiwa yang pernah berlaku kepada mereka.

“Jika di asrama, terserempak dengan hantu seperti penanggal, pocong, pengawal keselamatan tidak berkaki di koridor pada waktu malam atau lembaga-lembaga misteri lain dianggap sebagai satu perkara biasa.

“Mereka juga melarang keras kami untuk merenung dan berada di sebuah tasik salah satu kolej wanita pada waktu senja dan ke atas kerana kawasan tersebut dikatakan berpuaka.

“Kata mereka, jika tidak kuat semangat, pelajar boleh diserang histeria sehingga demam selama beberapa hari,” ceritanya.

Tambah Ahmad lagi, menurut pelajar senior tersebut, lokasi kolej kediaman yang dibina di atas kawasan lombong lama dan dikelilingi kawasan ladang getah menyebabkan tasik tersebut ‘keras’ dan pelajar-pelajar sering diganggu.

Ada juga mendakwa, kawasan tasik tersebut ‘keras’ kerana dahulunya ia merupakan tapak pembuangan mayat oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Bukan setakat membuat jelmaan dalam pelbagai rupa, air di tasik tersebut didakwa pernah dilihat berombak biarpun pada waktu itu suasana persekitaran tenang tanpa deruan angin, selain kemunculan seekor angsa putih di tengah-tengah tasik pada waktu malam secara tiba-tiba.

Tidak kurang juga ada yang mendakwa pernah terhidu bau kemenyan, selain terlihat lembaga berwarna putih dan kepulan asap yang muncul secara tiba-tiba.

Biarpun ramai yang mengakui pernah terserempak dengan ‘lembaga’ yang diceritakan pelajar senior pada waktu itu, namun Ahmad langsung tidak mengendahkan setiap larangan tersebut.

Namun katanya, semuanya berubah apabila dia mengalami sendiri gangguan di tasik itu pada satu malam.

Ketika itu ujarnya, dia dan rakan sekelas berada di kawasan tasik tersebut meraikan tahun terakhir mereka di universiti selepas menduduki kertas peperiksaan terakhir.

 

MUNGKIN beginilah gambaran tasik di salah sebuah universiti di utara tanah air yang mempunyai banyak cerita mistik beberapa tahun lalu.
–GAMBAR HIASAN

“Kawasan tersebut sunyi sepi memandangkan hari sudah lewat malam. Tambahan pula tidak ramai yang berada di kolej kerana kebanyakan mereka sudah pulang ke kampung sempena cuti semester.

“Sedang rakan saya asyik menyanyi dan bergelak ketawa, saya terlihat kelibat seekor angsa putih yang pernah diceritakan senior muncul dari dalam tasik. Entah bagaimana mulut saya begitu cabul menegur jelmaan itu.

“Tiba-tiba saya dapat rasakan bulu roma di seluruh badan mula meremang dan tidak tahu apa-apa yang berlaku selepas itu. Rakan-rakan mengatakan saya menjerit kuat kerana diserang histeria sebelum pengsan.

“Saya hanya sedar keesokan harinya selepas pengetua kolej kediaman memanggil seorang ustaz untuk berubat,” ceritanya.

Petang keesokan harinya selepas tersedar, dia terasa seperti diekori oleh lembaga besar berwarna hitam.

“Menjelang maghrib ketika saya dan rakan lain mandi di bilik air, saya sekali lagi diserang histeria. Tetapi ia tidaklah teruk seperti kali pertama.

“Ustaz yang bertugas sekali lagi dipanggil dan pada malam itu, pengetua menganjurkan bacaan doa selamat dan saya dibawa berubat,” jelasnya.

Insiden tersebut menyebabkan kawasan sekitar tasik ditutup selama beberapa bulan dan sebuah papan tanda yang melarang pelajar berada di tasik itu turut didirikan.

——————————————————————————–Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN