MUAR – Keputusan sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan atau sebaliknya akan bergantung kepada angka kes semasa jangkitan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, perkara itu akan diputuskan dalam tempoh seminggu sebelum PKPP tamat pada 31 Ogos nanti.
Menurut beliau, keputusan itu juga akan diperhalusi secara bersama dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapat nasihat dan pandangan pihak berkenaan.
“Kalau kita kira sekarang ini, PKPP sampai 31 Ogos, tetapi melihat kepada keadaan penularan yang terkini maka sebelum 31 Ogos kita akan tengok semula.
“Katakan sebelum ini ‘zero’ sebagaimana saya maklumkan tiga hari berturut-turut ‘kosong’, kalau angka itu berterusan sehingga 31 Ogos mungkin Menteri Kesihatan kata dah tak perlu lagi dah PKPP,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancara Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Komplek Sukan Pagoh di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, beliau sehingga kini tidak boleh memberi jawapan sama ada PKPP disambung semula atau sebaliknya kerana kes jangkitan berubah-ubah pada setiap hari.-K! ONLINE.














