fbpx

Sabah laksana pemotongan gaji menteri, pembantu kuatkuasa bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hajiji (dua dari kanan) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di IPK Sabah hari ini.

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah bakal melaksanakan pemotongan gaji ke atas semua menteri dan pembantu menteri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemotongan berkenaan membabitkan sebanyak 50 peratus daripada jumlah gaji selama dua bulan berkuatkuasa bulan ini.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga melepaskan 30 peratus daripada gaji masing-masing selama sebulan.

“Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Kabinet negeri yang saya pengerusikan semalam.

“Semua simpanan itu akan digunakan sebagai dana untuk membiayai pengurusan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebentar tadi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri turut mengumumkan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 Covid-19 berjumlah RM120.5 juta dan tambahan RM34.4 juta untuk bantuan bakul makanan kepada semua sektor yang terkesan akibat pandemik berkenaan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI