fbpx
PEMANDANGAN indah dengan pohon yang rimbun ini dirakamkan di Taman Tasik Taiping.

Panorama indah ‘tersembunyi’ Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMBESAR di Taiping, Perak membuatkan Badrul Akram Badaruddin, 30, sangat mencintai bandar itu sehingga mengabadikan lokasi-lokasi menarik di situ dalam setiap rakaman gambar dan videonya.

Siapa sangka, sorotan lensa anak jati Perak itu menjadi tular baru-baru ini apabila video keindahan Taiping yang dimuat naik di Instagram miliknya telah meraih hampir setengah juta atau 444,000 tontonan.

Bahkan, Badrul turut banyak koleksi bidikan fotonya yang menonjolkan keindahan sekitar Perak pada sudut-sudut ‘tersembunyi’ atau kurang diterokai orang sehingga ada yang menyangka lokasi-lokasi itu bukan di Malaysia.

Dia yang mesra disapa Badrul memberitahu, pelbagai reaksi positif diterima daripada warga maya yang meninggalkan komen di Instagram.

Tatkala melihat keindahan tempat-tempat dipaparkan dalam video itu, ramai yang menyangka lokasi tersebut di luar negara walhal ada antaranya cuma di taman tasik yang lazim dikunjungi orang.

Tidak kurang juga yang menyatakan perasaan rindu untuk pulang ke kampung apabila menonton video itu.

“Saya berasa sangat terharu membaca komen-komen positif daripada orang ramai sehingga melonjakkan semangat untuk menghasilkan lebih banyak video dan gambar mengenai Taiping pada masa akan datang.

“Paling saya tidak boleh lupa apabila menerima mesej peribadi di Instagram daripada seorang lelaki berusia 50-an dari Perancis yang pernah mengunjungi Taiping menyatakan dia sangat rindukan bandar itu selepas melihat gambar Taman Tasik Taiping,” cerita anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

KAMBING unik yang ditemui di sekitar sawah padi di kawasan Semanggol.

Selain Taman Tasik Taiping, antara lokasi dimuatkan dalam video itu ialah sekitar bandar Taiping, stesen bas lama Taiping selain Kilang Arang Kayu Kuala Sepetang berhampiran Taiping.

Kesemua gambar dan video tersebut dirakam menggunakan telefon pintar sahaja, namun hasilnya cukup menakjubkan.

Lokasi yang menjadi kegemaran Badrul ialah Taman Tasik Taiping kerana ia bukan sahaja taman tasik tertua di Malaysia tetapi mempunyai aura keindahan tersendiri sehingga pelbagai gambar cantik boleh dirakam di situ.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sudah menjadi rutin pada waktu pagi, saya akan membuat rakaman gambar dan video dengan dibantu sahabat sebagai model.

“Gambar yang saya rakam di tasik tersebut juga menarik perhatian pihak Malaysia Truly Asia dan mereka memuat naik di laman Facebook rasmi agensi itu,” tuturnya yang menetap di Taiping.

Terang Badrul, dia mempunyai matlamat yang besar untuk memperkenalkan Taiping di mata dunia dengan caranya sendiri iaitu menerusi paparan gambar dan video menarik.

Bukan itu sahaja, dia juga berhasrat untuk mengetengahkan keindahan Perak secara amnya memandangkan masih banyak lokasi menarik di negeri itu yang tidak diketahui orang.

“Saya selaku orang Perak dan membesar di negeri ini juga sejujurnya merasakan masih banyak tempat menarik yang tidak dikunjungi orang.

“Oleh itu, saya berasa bertanggungjawab untuk berkongsi tempat-tempat menarik di sini dengan masyarakat,” katanya yang merupakan seorang pereka grafik secara sepenuh masa dan jurugambar secara sambilan.

Bercerita lanjut mengenai minatnya dalam bidang fotografi dan videografi, bapa kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu, ia bermula ketika dia menuntut pengajian Diploma Seni Reka dan Seni Lukis, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seri Iskandar, Perak.

CINTA Badrul dalam bidang fotografi berputik semasa mengikuti kelas asas fotografi sewaktu menuntut di universiti.

Menurut Badrul, pada ketika itu, dia turut mengikuti kelas asas fotografi sehingga berputik rasa cinta dan menjadi hobi yang amat digemari sampai sekarang.

“Selepas tamat belajar, saya pernah bekerja dengan sebuah syarikat produksi selama tiga tahun dan dari situ juga banyak menimba ilmu dengan kru-kru profesional dalam bidang videografi.

“Pada tahun 2012 pula, saya berpeluang menjadi ‘jurugambar kedua’ untuk merakam gambar perkahwinan dan kemahiran itu terus diasah sedikit demi sedikit daripada mereka yang berpengalaman sehingga mahir dalam bidang ini,” ulasnya.

Setelah berasa yakin dengan kemampuan dirinya, Badrul membulatkan tekad untuk menggerakkan usaha fotografi atau videografi sendiri pada tahun 2019 yang mana kebanyakannya menggunakan telefon pintar, cuma bagi rakaman perkahwinan dia masih menggunakan kamera digital.

Jelas Badrul, tempias daripada videonya yang tular baru-baru ini telah membuka mata banyak pihak sekali gus dirinya menerima pelbagai tawaran seperti mempromosikan kafe serta produk makanan.

“Sebelum ini ramai yang tidak yakin dengan hasil kerja saya kerana banyak menggunakan telefon pintar berbanding peranti kamera tetapi semuanya telah berubah.

“Saya tidak sangka video yang dibuat sekadar hobi atau untuk suka-suka sahaja telah membuka lebih banyak peluang kepada saya dalam bidang ini,” ujarnya yang turut membuat suntingan menggunakan telefon pintar.

PERCAYA atau tidak gambar ini dirakamkan di sekitar Taman Saujana Kamunting, Taiping.

Dalam pada itu, kongsinya, pengalamannya menemukan seekor kambing yang sangat ‘kacak’ ketika penggambaran di Semanggol, Kerian, Perak adalah suatu yang tidak boleh dilupakan.

“Saya terlihat satu kawanan kambing yang sedang meragut rumput di sekitar sawah padi itu. Ada seekor kambing memiliki rupa yang sangat unik dengan bulu keperang-perangan. Pada awalnya, risau juga. Takut kambing itu liar tetapi setelah mendekatinya dan merakam beberapa keping gambar ternyata ia sangat manja serta tenang,” katanya sambil memberitahu ramai yang teruja ingin mengetahui lanjut mengenai kambing itu selepas melihat gambar tersebut.

Dia yang gemar menjadikan alam sekitar dan manusia sebagai subjek kesukaannya turut berkongsi tip serta formula penting penghasilan gambar.

Badrul berkata, pencahayaan semula jadi adalah formula yang amat mustahak untuk ‘memaniskan’ gambar tersebut tanpa perlu membuat suntingan berlebihan.

“Masa kita merakam gambar sangat penting, elakkan berbuat demikian pada waktu tengah hari kerana ketika itu cahaya matahari terlalu terik.

“Sebaiknya pilih waktu pagi sekitar pukul 6.30 hingga 9 pagi dan petang pula pukul 5.30 hingga 7 malam,” tuturnya.

Bagi pemilihan sudut gambar pula, Badrul berkata, ia bergantung kepada kreativiti masing-masing dan memerlukan latihan berterusan untuk mendapatkan hasil terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN