SHAH ALAM – Tindakan sekumpulan individu berjoging di taman awam yang ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 membawa padah apabila dikompaun hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, lima kompaun telah dikeluarkan di Taman Tasik Seksyen 7, manakala empat lagi di Taman Seksyen 14 di sini.
Katanya, kompaun tersebut hasil operasi pematuhan PKP oleh Majis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama polis bermula pukul 7 hingga 10 pagi.
“Kesemua kompaun telah dikeluarkan MBSA mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana tidak mematuhi PKP Covid-19 dengan masuk beriadah atau joging di taman-taman awam yang telah ditutup bermula 1 hingga 14 Jun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai khususnya di daerah ini bahawa aktiviti berjoging secara individu hanya dibenarkan di taman-taman kejiranan sekitar rumah masing-masing.
“Tindakan mana-mana individu merentasi radius 10 kilometer dan keluar berjoging di taman-taman awam adalah tidak dibenarkan sama sekali di bawah prosedur operasi standard ( SOP) Majlis Keselamatan Negara bermula 1 hingga 14 Jun depan.
“Kerjasama masyarakat bersama petugas barisan amat penting dalam memutuskan rangkaian Covid-19,” jelasnya. -K!ONLINE














