fbpx

Waspada sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sebanyak 1,987 kes membabitkan penipuan wang tidak wujud melibatkan kerugian lebih RM20,000 pada tahun ini sahaja.

Pinjaman wang daripada institusi kewangan berlesen untuk tujuan perbelanjaan peribadi, kecemasan dan sebagainya merupakan kaedah biasa dalam kalangan masyarakat berpendapatan sederhana.

Namun, kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19 sejak Disember 2019 menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan selain sektor perniagaan terjejas teruk.

Keadaan itu menyebabkan wujudnya permintaan bagi mendapatkan pinjaman wang bagi memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, bagi tahun lalu, PDRM merekodkan sehingga 5,718 kes dengan kerugian lebih RM62,397,559.45.

“Sindiket ini mengambil kesempatan terhadap tindakan institusi kewangan yang mengenakan syarat yang ketat sebelum meluluskan pinjaman menerusi iklan yang dipaparkan di media sosial.

“Mereka akan mempromosikan pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah, proses pinjaman yang cepat dan syarat pinjaman yang mudah bagi menarik perhatian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, mangsa yang terpedaya akan dihubungi sindiket berkenaan yang meminta mereka membuat pembayaran pendahuluan sebelum pinjaman mereka diluluskan.

“Pelbagai alasan digunakan sindiket ini untuk mendapatkan bayaran tersebut antaranya yuran undang-undang, yuran perjanjian dan bayaran insurans.

“Sebaik bayaran telah dilakukan mangsa, pinjaman yang dijanjikan tersebut tidak diperolehi,” jelasnya.

Tambah Zainuddin, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pinjaman wang dengan tawaran kadar faedah yang rendah.

“Jangan sesekali memberikan maklumat diri dan akaun bank sama ada secara lisan atau bertulis. Ia juga termasuk tidak menyerahkan kad bank kepada mana-mana pihak.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pengesahan syarikat pinjaman wang melalui https://www.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/585,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI