JITRA – Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kumpulan Geng Tokwan dan merampas 3,179.07 gram ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Manggol, Jalan Bukit Wang di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, suspek berusia 43 hingga 67 tahun dipercayai memperoleh bekalan dadah daripada pengedar tempatan untuk diedarkan di sekitar Kubang Pasu dan Alor Setar.
Ketika serbuan, suspek berusia 61 tahun bertindak melarikan diri sambil membawa sebungkus plastik berwarna merah hitam bertulis tomato spicy flavoured cracker yang berada di lantai rumah tersebut.
“Suspek berjaya ditahan di bahagian belakang rumah selepas dikepung polis. Pemeriksaan lanjut menemukan tiga bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuhan mampat disyaki ganja seberat 3,119.04 gram.
“Pemeriksaan di ruang tamu menemukan satu paket plastik lutsinar dadah sama seberat 8.58 gram serta satu plastik hijau mengandungi bunga ganja dengan berat 51.45 gram,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Radzi berkata, dadah itu bernilai RM9,600 dan boleh digunakan 3,000 penagih. Polis turut menyita sebuah motosikal Honda Vario.
Semakan mendapati dua lelaki terlibat mempunyai rekod dadah dan positif mengambil bahan terlarang tersebut. — BERNAMA














