KUALA LUMPUR – Pasaran minuman sedia untuk diminum (RTD) di Malaysia semakin kompetitif apabila pengeluar mula memperluas penawaran produk bagi memenuhi perubahan gaya hidup dan permintaan pengguna.
Perkembangan itu mendorong pemain industri memberi tumpuan kepada inovasi serta peluasan rangkaian pengedaran bagi meningkatkan capaian pasaran, khususnya dalam kalangan pengguna muda.
Terbaharu, jenama minuman tenaga Extra Joss mengembangkan perniagaannya ke segmen RTD menerusi pengenalan Extra Joss Ultimate selepas lebih sedekad bertapak di Malaysia dengan produk minuman serbuk.
Pengurus Negara Kalbe Malaysia, Oktavianus berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam pasaran minuman tempatan.
Menurutnya, syarikat turut menyasarkan peluasan kerjasama dengan pengedar, peruncit serta pengusaha makanan dan minuman bagi meningkatkan capaian produk.
“Kami melihat peluang untuk memperkukuh kerjasama dengan pengedar, peruncit serta pengusaha makanan dan minuman bagi meluaskan capaian produk secara mampan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang dalam segmen RTD,” katanya.
Terdahulu, pelancaran Extra Joss Ultimate pada 26 November lalu menandakan kemasukan rasmi jenama tersebut ke dalam segmen minuman tenaga RTD di Malaysia.
Produk baharu itu akan dipasarkan menerusi pelbagai saluran termasuk kedai runcit, pasar raya, kedai serbaneka, stesen minyak, restoran dan premis makanan serta minuman.
Sementara itu, Pengurus Pengaktifan Jenama Extra Joss, Jerry Yew berkata, golongan Gen Z dan dewasa muda menjadi kumpulan sasaran utama bagi peluasan penawaran tersebut.
Katanya, perubahan gaya hidup pengguna yang semakin aktif turut membuka ruang kepada perkembangan kategori minuman tenaga dalam pelbagai situasi penggunaan harian.-KOSMO ONLINE














