PETALING JAYA – Peminat Limp Bizkit di Malaysia dilema sama ada mahu membeli tiket untuk menyaksikan konsert kumpulan nu-metal terkenal Amerika Syarikat (AS) itu atau melupakan sahaja hasrat berkenaan, memandangkan penampilan dan gaya hidup mereka kini sudah berubah seiring pertambahan usia.
Menerusi perkongsian di media sosial, peminat yang terdiri daripada anggaran usia 35 hingga 50 tahun bercerita mereka meminati lagu-lagu daripada kumpulan tersebut ketika di usia remaja dan belia.
Ada daripada mereka berhasrat untuk menghadiri konsert tersebut, tetapi berasa serba salah dengan penampilan kini selain berkemungkinan tidak mampu kekal bertenaga menghadiri konsert nu-metal seperti waktu muda dahulu.
“Adoi zaman muda abang dulu dia tak mahu datang. Dah tua-tua ada ‘slip disk’ dan kencing manis baru nak datang,” kata Ashraffkamal7 menerusi hantaran di TikTok.
“Seorang AJK (ahli jawatankuasa) surau. Mengajar ngaji, hujung minggu pergi kuliah, liqa’ fikri, pergi usrah, jadi unit amal. ‘Berat nanang’ Limp Bizkit. Mengenang boleh, kembali jangan,” kongsi YunNadiah pada hantaran TikTok.
“Dah umur 40 lebih baru nak masuk Malaysia. Sekarang dah jadi ustaz, baru je lepas ajar anak murid hiburan tu melalaikan. Macam mana ni?,” kongsi pengguna TikTok Abdul Halim Ghaffar.
“Dah umur 45 tahun, dah haji dah jadi mutawif. Limp Bizkit datang Malaysia pula. Adoi, apasal kau tak datang masa aku muda,” kata Hamli Hamdan pada TikTok.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, selepas sekian lama dinanti peminat muzik rock tempatan, Limp Bizkit akhirnya bakal mengadakan persembahan sulung di Malaysia menerusi konsert Limp Bizkit Live in Malaysia – One-Stop Asia Show pada 9 Disember depan.
Konsert anjuran Hitman Live dan Hitman Solutions itu dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula pukul 8 malam.
Lebih istimewa, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya persinggahan jelajah Asia kumpulan berkenaan sepanjang 2026, sekali gus memberi peluang kepada peminat tempatan menyaksikan sendiri aksi bertenaga kumpulan yang sinonim dengan genre nu-metal itu.
Dikenali menerusi lagu popular seperti Rollin’, My Way, Break Stuff dan Nookie, Limp Bizkit dijangka menghangatkan pentas menerusi deretan karya yang pernah mencetuskan fenomena dalam arena muzik rock antarabangsa. – KOSMO! ONLINE














