PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan permukaan jalan di lorong tengah antara Nilai dan Bandar Ainsdale (arah selatan) di Kilometer (KM) 271 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini hari ini.
Insiden yang berlaku kira-kira pukul 9.33 pagi itu melibatkan beberapa buah kenderaan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Plus dalam kenyataan memaklumkan, pasukan penyelenggaraannya kini berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan segera dan memastikan ia dapat diselesaikan secepat mungkin.
Menurutnya, kerja-kerja tampalan sebenarnya telah dilaksanakan di lokasi sama malam tadi, namun kerosakan berulang pagi ini berikutan keadaan cuaca hujan berterusan.
“Plus kesal atas kejadian tersebut dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pengguna lebuh raya yang terjejas,” menurut kenyataan itu hari ini.
Katanya, penutupan lorong sementara dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya serta petugas sepanjang kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan sesak sepanjang kira-kira 14 kilometer dari Persimpangan Nilai Utara menghala ke Seremban.
Keadaan itu menyebabkan lorong tengah terhalang, manakala lorong kanan, kiri dan kecemasan masih boleh dilalui pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE














