GEDONG – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan kira-kira 30 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka menang tanpa bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, kira-kira 30 calon GPS di beberapa kawasan turut dijangka menang tanpa bertanding, namun angka itu masih belum disahkan sepenuhnya.
Katanya, walaupun kemenangan tanpa bertanding menimbulkan persoalan mengenai proses demokrasi, mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang mampu mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang tetap menjadi perkara utama.
“Terpulang kepada rakyat untuk memberikan keyakinan kepada pihak parti yang menguruskan negeri ini. Alhamdulillah, nampaknya rakyat negeri ini menghendakkan pembangunan berterusan, khususnya di Sarawak,” katanya di sini hari ini.
Mengulas mengenai kemenangan tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, beliau menyifatkan ia sebagai petanda keyakinan rakyat terhadap pentadbiran GPS.
“Pertama, saya memanjatkan syukur kepada Allah kerana ada tanda-tanda keyakinan rakyat di Sarawak kepada pentadbiran GPS yang menguruskan pembangunan di negeri ini.
“Saya juga ucap terima kasih kepada orang Gedong kerana memberi keyakinan kepada saya untuk menguruskan bersama rancangan yang sedang dilaksanakan hingga ke tahun 2030,” katanya.
Majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri ialah menang 42 kerusi daripada keseluruhan 82 kerusi yang dipertandingkan.














