PETALING JAYA – Stesen Pandan Jaya kecoh selepas seorang individu didakwa melintas di landasan tren Transit Aliran Ringan (LRT), dalam kejadian pada pagi tadi.
Insiden itu tular di media sosial dikongsikan pengguna Threads yang memperlihatkan seorang lelaki berada di atas landasan serta beberapa anggota polis di stesen tersebut.
“Apa jadi kat LRT Pandan Jaya pagi tadi sekitar pukul 9.35 pagi. Dah lah tren lambat 30 minit, aku pula masuk kerja 10 pagi.
“Lepas tu tiba-tiba ada polis ramai-ramai cekup ‘mamat’ (lelaki) ni,” kata pengguna Threads dikenali sebagai Sy4fx memuat naik hantaran gambar dan video kejadian itu.
Dalam masa sama, seorang pengguna Threads Yusrizal_rizz menerusi video dimuat naik pada akaunnya pula memperlihatkan seorang lelaki berada di landasan serta beberapa anggota polis di situ.
“Dah tahu kenapa LRT laluan Ampang tak gerak,” katanya.
Sementara itu, Rapid KL turut meninggalkan komen pada hantaran video Sy4fx serta menjelaskan situasi sebenar kejadian pada pagi tadi.
“Untuk makluman, sekitar pukul 9.30 pagi tadi, seorang individu telah dikesan melintasi landasan di Stesen Pandan Jaya.
“Bagi membolehkan individu tersebut ditahan dengan selamat, pihak operasi perlu memutuskan bekalan kuasa landasan buat sementara waktu. Ini menyebabkan sedikit kelewatan perkhidmatan tren Laluan Ampang,” katanya.
Rapid KL memaklumkan, individu berkenaan telah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Kami ingin mengingatkan semua penumpang supaya tidak melintasi landasan atau memasuki kawasan landasan.
“Tindakan ini sangat berbahaya dan boleh mengundang risiko kepada keselamatan diri. Jaga keselamatan bersama ya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














