KUALA PILAH – Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memaklumkan, portfolio enam Exco berkenaan masih belum ditetapkan dan memerlukan masa sehari dua untuk dimuktamadkan.
Menurutnya, jumlah Exco yang diperkenankan ketika ini menyebabkan beberapa portfolio perlu digabungkan berdasarkan kesesuaian bidang tugas masing-masing.
“Buat masa ini, belum ada portfolio yang ditetapkan. Saya mohon sehari dua untuk menetapkannya kerana jumlah ahli mesyuarat yang diperkenan setakat ini enam orang, sedangkan kita mempunyai banyak portfolio.
“Mungkin saya terpaksa menggabungkan beberapa portfolio dan ini memerlukan kesesuaian antara bidang yang berkaitan,” katanya.
Mengulas mengenai tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri, Ismail berkata, tarikh berkenaan akan ditetapkan selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – KOSMO! ONLINE














