BOGOTA – Polis Colombia berkata semalam bahawa seramai 76 orang dijadikan tebusan semasa serbuan selama 17 jam ke atas sebuah pasar raya di Cartagena, lebih dua kali ganda berbanding angka dalam laporan awal.
Pasukan keselamatan menyerbu pasar raya itu sebelum subuh, membebaskan semua tebusan tanpa kecederaan dan membunuh seorang daripada tiga penyerang.
Lelaki-lelaki bersenjata itu didakwa berlindung di dalam kedai berikutan percubaan menceroboh dan merompak kenderaan perisai yang gagal.
Sumber polis berkata, jumlah sebenar tebusan adalah jauh lebih tinggi daripada 30 orang yang dilaporkan sebelum ini oleh Presiden Abelardo de la Espriella.
Rakaman pasukan bersenjata menunjukkan askart-askar memakai seragam celoreng bergerak melalui pusat beli-belah melintasi kedai-kedai yang ditutup, dengan mereka berusaha memisahkan tebusan daripada penculik.
Pihak berkuasa bimbang penculik akan cuba meninggalkan kedai di celah-celah tawanan mereka.
Berpuluh-puluh orang meniarap di lantai semasa mereka dikenal pasti dan beberapa lelaki berseluar pendek serta berbaju-T dibawa pergi dalam keadaan digari di bawah kawalan polis.
De la Espriella melawat Cartagena semasa krisis tersebut. Beliau tiba bersama polis pengiring membawa senjata di sisinya dan pemancar radio.
Lapangan terbang Cartagena ditutup dan operasi besar-besaran dilancarkan melibatkan ratusan anggota keselamatan daripada polis, tentera dan pasukan khas.
Kini polis percaya hanya ada tiga penyerang dan terdapat bukti yang semakin kukuh bahawa serangan yang berlaku tidak dirancang secara rapi.
“Terdapat banyak ketakutan pada ketika itu kerana penculik berada dalam keadaan agak mabuk,” kata pekerja pasar raya Dayro Rafael Velazquez kepada Caracol Radio.
Sejak memegang jawatan Ogos lau, presiden berhaluan kanan itu sering menggunakan imej tentera dan mesej keselamatan tegas ketika Colombia berdepan gelombang keganasan terburuk pada dekad ini. – AFP














