PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dianggap meraih ‘untung berganda’ selepas mengambil keputusan melantik Bojan Hodak sebagai pengendali baharu Harimau Malaya bagi menggantikan Peter Cklamovski yang meninggalkan pasukan, Jun lalu.
Selain sudah terbukti memiliki kemampuan membina pasukan berkualiti, kehadiran Hodak juga turut disertai aura dan pengaruh besar yang mampu menyelesaikan masalah terbesar skuad kebangsaan ketika ini iaitu keengganan kelab melepaskan pemain bagi tugasan antarabangsa.
Pemerhati bola sepak, Dr Zulakbal Abdul Karim berkata, selain terbiasa dengan bola sepak Malaysia, Hodak ada latar belakang luar negara yang mampu untuk beri keuntungan kepada skuad kebangsaan.
“Dia dilihat mampu menyelesaikan banyak isu. Dia cukup mengenali suasana bola sepak tempatan, tetapi pada masa sama mempunyai pendekatan bola sepak Eropah.
“Dia boleh menangani politik dalam skuad kebangsaan, terutama isu pemain tidak dilepaskan. Seseorang jurulatih memerlukan pemain terbaik dan saya harap diplomasi dimilikinya dapat menyelesaikan isu ini,” katanya.
Hodak pernah membimbing beberapa kelab tempatan termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, selain pernah mengendalikan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) negara.
Sementara itu, seorang lagi pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa mencadangkan FAM bekerjasama dengan pihak korporat bagi menampung gaji ketua jurulatih baharu Harimau Malaya sekali gus mengelakkan dibebani komitmen kewangan yang besar.
Pendekatan berkenaan bukan sesuatu yang asing apabila beberapa kuasa besar bola sepak Asia seperti Jepun dan Korea Selatan turut mengamalkan mekanisme sokongan kewangan bagi memastikan pasukan kebangsaan mendapat khidmat pengendali berkualiti.
“Barisan kejurulatihan FAM terikat dengan dana. Sekarang ini kita tidak nampak tajaan baharu yang besar untuk Harimau Malaya, jadi Pengerusi Jawatankuasa Media dan Pemasaran FAM, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan kena bergerak bagi tujuan ini.
“Apa salahnya kita mencari penaja yang sanggup membayar gaji ketua jurulatih. Maksudnya, gaji itu bukan dibayar oleh FAM tetapi ditanggung penaja melalui kerjasama korporat, di Malaysia banyak syarikat Jepun, Korea Selatan dan Jerman pun ada,” katanya.














