PETALING JAYA – Di sebalik isu pembayaran penuh tambang, tindakan seorang pemandu van sekolah yang memberi kelonggaran kepada ibu bapa untuk membayar seikhlas hati mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, @norfatinmohdrizmanchew, wanita itu memuat naik tangkap layar mesej WhatsApp yang diterimanya daripada pemandu van sekolah anaknya pagi tadi.
Menerusi mesej tersebut, pemandu berkenaan memaklumkan ibu bapa tidak perlu membuat pembayaran penuh tambang bagi bulan Disember, sebaliknya boleh membayar mengikut kemampuan masing-masing.
“Untuk bulan 12, sekolah hanya seminggu sahaja. Untuk pembayaran tambang van, tuan atau puan boleh bayar seikhlasnya sahaja, tidak perlu bayar penuh. Berapa pun saya terima. Terima kasih,” tulisnya.
Perkongsian tersebut meraih lebih 879,000 tontonan dan 31,700 tanda suka, selain menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya tersentuh dengan sikap bertimbang rasa pemandu berkenaan.
“Saya akan bayar penuh sebagai ‘bonus’ dia bekerja saban hari mengambil dan menghantar anak. Semoga pemandu anak-anak sihat selalu,” komen @catrionabrianross.
“Saya akan bayar penuh sebab itu ibarat komitmen bulanan kita. Kalau separuh, macam mana pak cik itu hendak bertahan dengan perbelanjaan bulan tersebut,” kata @haziieymo.
“Saya akan bayar penuh. Tidak kaya pun kita simpan, tetapi sudah tentu cukup untuk pak cik van bayar komitmen bulanan,” ujar @syahcoveryou.
Bagaimanapun, terdapat juga pengguna yang berpendapat kelonggaran tersebut amat bermakna buat golongan ibu bapa yang berdepan kekangan kewangan, terutama menjelang persiapan sesi persekolahan tahun hadapan.
“Pak cik ini sudah cakap seikhlas hati. Kalau tidak mahu bayar penuh, bayarlah separuh, sekurang-kurangnya dia boleh menampung kos penyelenggaraan van, tahun depan hendak bawa anak-anak kamu lagi,” komen @lailamanj4.
“Bagi ibu bapa yang mampu mungkin tidak terkesan hendak bayar penuh, tetapi bagi ibu bapa yang bergelut dengan masalah kewangan, besar sangat rahmatnya,” kata @chefmader_.
Terdahulu, isu pembayaran penuh tambang van dan bas sekolah ketika cuti panjang sering menjadi perdebatan antara ibu bapa dengan pengusaha perkhidmatan tersebut.
Antara faktor yang menjadi pertimbangan pengusaha dalam mengenakan bayaran penuh termasuk komitmen bulanan seperti gaji pemandu, penyelenggaraan kenderaan dan ansuran pinjaman bank.
Berdasarkan Kalendar Akademik Tahun 2026 Kementerian Pendidikan (KPM), sesi persekolahan bagi negeri Kumpulan B hanya berlangsung selama empat hari iaitu dari 1 hingga 4 Disember depan sebelum cuti akhir persekolahan bermula pada 5 Disember.
Sementara itu, murid di negeri Kumpulan A melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu hanya bersekolah selama tiga hari iaitu dari 1 hingga 3 Disember sebelum memulakan cuti akhir persekolahan pada 4 Disember. – KOSMO! ONLINE














