PETALING JAYA – Pasangan pengantin Orang Asli yang juga pesakit di Hospital Jerantut, Pahang sah sebagai suami isteri selepas mereka bernikah dalam majlis ijab kabul julung kali diadakan di hospital tersebut, semalam.
Menerusi perkongsian Facebook Hospital Jerantut, majlis tersebut berlangsung di Dewan Baiduri dan ia dijayakan menerusi kerjasama daripada pelbagai pihak yang membantu urusan pasangan itu untuk berkahwin.
“Sejarah tercipta di Hospital Jerantut. Alhamdulillah, satu lagi mercu tanda kecemerlangan inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI) berjaya dilakar pada Isnin, 23 November bersamaan 13 Jamadilakhir 1448H (semalam).

“Berlangsungnya dengan penuh keberkatan majlis ijab dan kabul pasangan pengantin yang juga merupakan pesakit kami di Hospital Jerantut. Majlis bertempat di Dewan Baiduri ini merupakan satu detik bersejarah yang julung-julung kalinya diadakan di hospital ini.
​”Walaupun diuji dengan keadaan kesihatan, ikatan suci ini tetap berjaya disatukan dalam suasana penuh syahdu dan bermakna,” menurut hantaran itu semalam.
Dalam masa sama, kejayaan tersebut menjadi manifestasi nyata Hospital Jerantut terhadap komitmen HMI dalam menyantuni aspek kerohanian, kebajikan, serta keperluan syariah pesakit secara holistik, hasil kerjasama erat pelbagai pihak.
“​Semoga pasangan mempelai dikurniakan kesembuhan segera, dipermudah segala urusan rawatan, serta dilimpahi kebahagiaan dan keberkatan rumah tangga hingga ke syurga. Selamat pengantin baharu,” katanya.
Pihak Hospital Jerantut turut berterima kasih kepada agensi dan pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis akad nikah itu serta urusan wali bersaksi.
Antaranya Jawatankuasa HMI Hospital Jerantut, Wad Melor 1 (O&G), Jabatan Kemajuan Orang Asli, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Pejabat Kadi Daerah Jerantut, Unit Kejururawatan, Unit Penyeliaan, Unit Kerja Sosial Perubatan serta seluruh warga kerja Hospital Jerantut. – KOSMO! ONLINE














