Keadaan sekitar kampus UniSZA, Kuala Nerus yang dinaiki air susulan hujan lebat petang tadi.

Hujan sejam, kampus UniSZA dinaiki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Hujan lebat selama satu jam petang tadi menyebabkan beberapa laluan di kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, dinaiki air.

Kejadian banjir kilat itu mencemaskan pelajar apabila laluan yang digunakan untuk pulang ke asrama dinaiki air selain kawasan tempat letak kenderaan.

Seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam UniSZA, Nurul Naziera Abdul Hafiz, 22, berkata, ini kali pertama dia meredah banjir selepas menyertai sesi perbincangan berkumpulan bersama rakan-rakannya di dalam kampus.

“Memang cemas sebab ini kali pertama saya meredah banjir. Sebelum ini, kalau hujan lebat saya sempat pulang ke asrama sebelum air naik, tetapi kali ini sebaik selesai perbincangan, jalan sudah dinaiki air.

“Syukur alhamdulillah keadaan tidak begitu teruk dan kami selamat sampai ke asrama masing-masing,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Sementara itu, Nur Ain Umairah Mat Nasir, 22, berkata, dia dan beberapa penuntut lain turut berdepan situasi sama apabila kawasan parkir dinaiki air.

“Keadaan kelam kabut sebab masing-masing mahu selamatkan kenderaan. Agak mencabar juga tunggang motosikal sambil meredah banjir. Walaupun air tidak terlalu tinggi tetapi motosikal boleh hilang imbangan,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Nur Kamilah Che Mat, 22, pula berharap banjir kilat tersebut cepat surut dan tidak berlarutan sehingga esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN