MENYUNTIK kelainan dan memeriahkan lagi Konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5, Datuk M.Nasir mengumumkan Hazama dan Ernie Zakri antara penyanyi jemputan yang akan berkongsi pentas dengannya di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 5 Disember depan.
Meskipun kedua-dua penyanyi itu berpengalaman dalam persembahan konsert, namun peluang berkongsi pentas dan dipilih sendiri oleh sifu M. Nasir meniupkan debaran kencang buat Hazama, manakala Ernie Zakri bersedia mendapatkan tunjuk ajar maestro itu untuk membawakan karya yang kebanyakan lebih berusia daripada dirinya.
“Undangan ini adalah salah satu platform untuk saya membuat persembahan. Saya rasa berbesar hati dan buat masa ini masih gementar dengan lagu-lagu yang diberikan.
“Dipilih sendiri oleh sifu M. Nasir adalah satu penghormatan kerana dapat beraksi bersama legenda muzik yang saya sendiri minat dan hormati. Saya berharap dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik supaya penonton pulang dengan perasaan yang puas,” kata Hazama.

Terkejut
Sementara itu, Ernie pula mengakui perlu mempelajari lagu-lagu yang diberikan kepadanya, terutama karya yang telah wujud dan popular sebelum dia dilahirkan.
Menurutnya, bimbingan M. Nasir sangat diperlukan supaya dia dapat memahami dan menyampaikan lagu yang sudah berpuluh-puluh tahun berada dalam industri muzik dengan sebaik mungkin.
“Sebenarnya saya terkejut apabila diumumkan satu-satunya penyanyi wanita dalam senarai artis jemputan konsert ini. Saya sangat gembira dan bersyukur dengan peluang ini.
“Cuma saya perlu berguru dengan M. Nasir kerana senarai lagu yang diberikan kebanyakannya telah dikeluarkan sebelum saya dilahirkan lagi,” tutur Ernie.
Sementara itu, M. Nasir berkata, pemilihan artis jemputan dibuat sendiri berdasarkan pengetahuan dan minat terhadap mereka yang diundang untuk menjayakan konsert tersebut.
“Artis jemputan saya pilih sendiri sebab saya suka mereka. Sebenarnya ada beberapa nama, tetapi mereka dipilih kerana saya percaya mereka boleh beri kelainan, selain saya sendiri ingin berkongsi pentas dengan mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media kedua Magnum Opus di Bendang KL, baru-baru ini.
Sambung M. Nasir lagi, jenama Magnum Opus sudah kukuh dan memiliki pengikutnya yang tersendiri kerana persembahan yang diberikan adalah berbeza daripada konsertnya yang lain.
Menyifatkan pementasan kali ini sebagai sebuah konsert yang serius, M. Nasir menjelaskan, maklumat mengenai penghasilan karya turut diberi perhatian dalam membentuk keseluruhan persembahan.
“Bagi konsert kali ini saya gunakan pendekatan dokumentari muzikal, cerita tentang sejarah dan latar lagu akan disampaikan melalui paparan visual di celah persembahan, membolehkan penonton mengenali perjalanan setiap karya lagu saya dengan lebih dekat,” jelas M. Nasir.

Gen Z
Dalam masa sama, M. Nasir menyedari muziknya terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda. Sebahagian daripada mereka mengenali lagu-lagunya menerusi ibu bapa yang terlebih dahulu mengikuti perjalanan seninya.
“Sekarang ada media sosial, jadi karya boleh didedahkan. Saya dapati ramai juga dalam kalangan Gen Z minat muzik saya kerana ibu bapa mereka merupakan peminat saya. Itu adalah satu peluang dan ruang yang harus saya gunakan sebaik mungkin,” kongsinya.
Atas alasan sebegitulah, selepas berdekad berkarya, M. Nasir juga melihat keperluan untuk terus bekerja dengan generasi pelapis dan memberi mereka kesempatan mengembangkan kemampuan.
“Industri seni ini industri orang muda. Kita pandai-pandailah hendak masuk di mana. Kita kena bagi peluang kepada orang muda untuk asah bakat mereka, kita kena kerja dengan mereka. Selain dapat bantu industri menghasilkan muzik dan pengkarya yang bermutu dalam masa sama saya juga boleh kekal relevan,” katanya.
Disoal mengenai keperluan menghasilkan lagu baharu sedangkan sudah memiliki deretan karya hit, M. Nasir berkata, keinginan mencipta sentiasa ada dalam diri seorang pengkarya.
“Bagi orang yang menghasilkan karya, dia sentiasa mahu buat. Selagi ada daya untuk menghasilkan lagu baharu, dia akan buat. Ramai juga yang boleh membantu menghasilkan lagu baharu,” jelasnya.
Mengenai kemungkinan berehat daripada konsert tahun depan, M. Nasir berkata, fikirannya ketika ini turut terarah kepada beberapa perkara lain, termasuk meneroka dalam pembikinan filem dan teater dengan lebih mendalam.
“Saya tidak pernah fikirkan itu. Saya sedang fikir benda lain yang hendak dibuat seperti filem dan teater. Kerja seni ini boleh jadi ketagih, sebab itu susah hendak berhenti,” ujarnya.
Selain Hazama dan Ernie, konsert Magnum Opus yang tiketnya telah 90 peratus terjual itu, turut menghimpunkan tiga gitaris legenda, JoBranko, Kid dan Hillary Ang yang bakal berkongsi pentas dengan M. Nasir.
Barisan jemputan turut dilengkapkan duo hip-hop Kmy Kmo dan Luca Sickta, kumpulan PitaHati dan Pi’e Ramayan. Sebanyak 35 lagu ciptaan M. Nasir dipilih untuk konsert anjuran Luncai Emas Sdn. Bhd. itu akan diolah oleh pengarah muzik Mohd Rafi Shafie dan akan diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan konduktor Eric Lee.
Buat peminat yang masih ingin mendapatkan tiket berharga antara RM288 sehingga RM1,588 boleh layari laman web, www.ilassotickets.















