MOHAMAD Hakim Muslam (kanan), Ayub Ibrahim (tengah) serta Ali@Zainalabidin Syed Mohamad menyerahkan sarapan pagi kepada pelajar yang menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menegah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara (STAB) di Kluang hari ini. Foto oleh ADNAN IBRAHIM/KOSMO!

Pelajar kenyang sebelum masuk dewan peperiksaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Diberikan sarapan pagi menjadikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara (STAB) yang menduduki ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada dalam keadaan kenyang dan bersedia untuk memasuki dewan peperiksaan bermula hari ini.

Dengan adanya sarapan ini, 38 pelajar dari golongan asnaf menerima bantuan makanan nasi lemak beserta air, manakala 191 pelajar lain diberikan roti serta air atas inisiatif pihak sekolah serta bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Alif Hakimi Abdullah, 17, berkata, sebagai penerima bantuan sarapan pagi daripada MAIJ, rasa syukur tidak terhingga kerana dapat memberikan peluang membuat persiapan untuk peperiksaan penting ini.

Katanya, walaupun tinggal berdekatan dengan sekolah, namun dengan adanya sarapan ini membuatkan mereka lebih bersedia dan tidak perlu terkejar-kejar dalam usaha menghadirkan diri ke sekolah mengikut waktu ditetapkan.

“Alhamdulilah, pagi ini dapat makan nasi lemak ayam hasil sumbangan MAIJ dan ia amat bermakna bagi kami daripada golongan anak-anak asnaf di sekolah ini.

“Apabila dalam keadaan kenyang, Insyaallah dapat memberikan tumpuan dalam peperiksaan yang dihadapi bermula hari ini dan amat berterima kepada penyumbang semua,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hadir untuk menyampai sarapan kepada pelajar adalah Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Ali@Zainalabidin Syed Mohamad dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kluang, Ayub Ibrahim.

Sementara itu, Mohd Daniel Wafi Rahman,17, yang turut menerima sumbangan sarapan pagi daripada MAIJ berkata, selain menerima bantuan sarapan pagi mereka turut akan mendapat bekalan makan tengahari inisiatif daripada kerajaan negeri.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN