PETALING JAYA – Pemimpin politik diingatkan supaya tidak menjadikan institusi diraja sebagai ‘modal’ politik sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo Jian Woon berkata, setiap pemimpin perlu memahami batas kebebasan bersuara, khususnya apabila menyentuh institusi Raja-Raja Melayu dan kuasa pengampunan.
“Jangan terlalu sibuk berpolitik sehingga lupa batas dan tanggungjawab untuk menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
“Sebagai pemimpin, kita perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Kebebasan bersuara memang hak setiap individu, tetapi ia perlu disertai tanggungjawab dan rasa hormat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan pemimpin DAP, Tony Pua berkongsi petikan dokumen yang didakwa minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September lalu berkaitan keputusan pengampunan dan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Daniel, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, sebarang persoalan berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan boleh dibincangkan melalui saluran sewajarnya tanpa mencetuskan polemik yang tidak perlu.
“Jangan sampai kerana mahu mendapatkan perhatian politik, perkara yang sepatutnya dibincangkan secara matang akhirnya mencetuskan ketegangan dan salah faham dalam kalangan rakyat.
“Institusi Raja-Raja Melayu bukan isu untuk dipermainkan mengikut kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya.-KOSMO! ONLINE














