Sik – Seorang penduduk Kampung Teloi Tua di sini tidak menyangka bunyi letupan yang didengari pada subuh tadi mengorbankan nyawa pasangan adik beradik berusia 16 bulan dan tiga tahun.
Mohd Naim Abu Shukri, 29, berkata, dia yang tinggal kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian mendengar bunyi letupan kuat dari arah premis berkenaan sebelum suasana bertukar kecoh.
“Saya nampak api menjulang tinggi lalu bergegas ke lokasi kejadian. Saya nampak penduduk cuba membantu memadamkan kebakaran dengan menyimbah air, manakala ibu kanak-kanak terbabit (mangsa) pula menangis.
“Sepanjang berada di lokasi kejadian, saya tidak mendengar suara jeritan kanak-kanak kerana api begitu marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut pemuda itu, dia dimaklumkan oleh penduduk bahawa terdapat seorang bayi di dalam premis berkenaan dan penduduk tidak mengenali keluarga mangsa kerana baru berpindah ke kawasan tersebut sejak bulan lalu.
“Dua tiga hari lalu, ibu kepada dua beradik tersebut dilihat membeli barang di kedai berhampiran rumah mereka, namun penduduk tidak tahu dia tinggal di premis berkenaan,” katanya
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati, anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan pegawai penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia beradi di lokasi untuk melakukan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














