KUALA PILAH – Setiap nyawa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga mangsa, malah mengakibatkan kerugian sosioekonomi kepada negara sehingga RM3.1 juta.
Jumlah kerugian itu berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mengambil kira pelbagai aspek termasuk kos rawatan, pemulihan, kerosakan harta benda, kehilangan produktiviti dan pendapatan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Jazmanie Shafawi berkata, angka itu membuktikan kemalangan jalan raya bukan isu kecil kerana impaknya turut melibatkan ekonomi negara serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
“Setiap hari, jutaan pengguna menggunakan jalan raya untuk mencari rezeki, menuntut ilmu dan bersama keluarga. Satu tindakan cuai atau keputusan terburu-buru boleh mengubah kehidupan seseorang serta keluarganya dalam sekelip mata.
“Justeru, pematuhan undang-undang jalan raya tidak seharusnya bergantung kepada kehadiran penguat kuasa semata-mata, sebaliknya disiplin perlu bermula daripada diri pengguna,” katanya selepas Program Advokasi dan Kempen Keselamatan Jalan Raya JPJ Negeri Sembilan, di Dataran Melang, di sini, hari ini.
Jazmanie berkata, pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi had laju, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memotong secara berbahaya serta memakai tali pinggang keledar dan topi keledar yang diluluskan.
“Jangan memandu ketika mengantuk, terlalu letih atau di bawah pengaruh alkohol serta dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














