TUMPAT – Kegiatan menyeludup warga asing di sempadan negeri ini bagaikan tidak berkesudahan apabila sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di Lorong Maut, Pengkalan Kubor, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, seorang lelaki tempatan yang memandu kereta Honda Accord merempuh kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Bagaimanapun hasil maklumat awam, suspek yang berusia 25 tahun dan memiliki satu rekod jenayah berjaya ditahan anggota Batalion 7 di Lorong Maut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, semakan mendapati kereta Honda Accord itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Suspek mengalami kecederaan pada lengan kanan selepas cermin hadapan kereta pecah dalam kejadian berkenaan. Kenderaan PGA turut mengalami kerosakan akibat pelanggaran,” katanya.
Beliau berkata, sembilan PATI terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki yang semuanya warga Myanmar berusia 18 hingga 34 tahun ditahan.
Siasatan awal mendapati kesemua mereka menaiki kereta tersebut di Pantai Geting sebelum dibawa ke Lubok Jong, Pasir Mas.
“Dari Pasir Mas, mereka akan dihantar ke Selangor dengan menggunakan pengangkutan lain,” katanya.
Suspek yang berasal dari Bunut Susu, Pasir Mas bersama kesemua PATI itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.














