PETALING JAYA – Hasrat seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Depot untuk mengundang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke sekolahnya akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau hadir memeriahkan Karnival Anak Malaysia hari ini.
Momen tersebut mencuri perhatian selepas Anwar berkongsi sendiri kunjungannya ke sekolah berkenaan menerusi satu hantaran di Threads.
Menurut Anwar, meskipun mempunyai jadual yang padat, beliau tetap meluangkan masa untuk singgah ke sekolah berkenaan bagi memenuhi jemputan murid itu.
“Baru-baru ini saya terima jemputan daripada Muadz, murid SK Polis Depot, untuk datang ke Karnival Anak Malaysia di sekolahnya. Walaupun jadual padat hari ini, saya sempat juga singgah sebentar kerana tidak mahu hampakan anak kecil ini,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa terkejut melihat kemeriahan karnival berkenaan yang disifatkan seakan-akan sambutan hari keluarga.
Menerusi perkongsian itu, Anwar berkata, beliau seronok melihat murid-murid bersemangat menyertai pelbagai aktiviti, termasuk mengenakan pakaian seragam pasukan keselamatan seperti polis, tentera dan bomba.
“Seronok tengok anak-anak bersemangat menyertai pelbagai aktiviti, ada yang berpakaian seperti polis, tentera dan bomba, di samping ibu bapa pun turut sama memeriahkan karnival anjuran sekolah.
“Saya juga sempat mendengar sendiri daripada guru besar tentang beberapa perkara yang memerlukan perhatian, khususnya keadaan kemudahan sekolah serta keselesaan dan keselamatan murid. Insya-Allah saya akan teliti perkara yang dibangkitkan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Muadz atas jemputan tersebut selain menitipkan pesanan kepada murid-murid supaya terus tekun menuntut ilmu, menyayangi ibu bapa dan menghormati guru.
“Terima kasih Muadz. Terima kasih juga buat anak-anak yang menyambut saya dengan senyuman. Teruslah tekun menuntut ilmu, sayangi ibu bapa dan hormati guru. Saya doakan kalian berjaya dalam mengejar cita-cita serta suatu hari nanti dapat berbakti kepada masyarakat dan negara,” kata beliau.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan Anwar yang sanggup meluangkan masa memenuhi jemputan murid berkenaan meskipun mempunyai jadual yang padat.
“Baiknya PMX saya ni ,” komen @pleiadeleia
“Terus datang. Lepas ni guru besar pun tak berani sentuh Muadz,” komen hc_soon pula.
“Terbaik DS!” tulis yang lain.
Terdahulu, kisah Muadz mengundang perhatian selepas seorang pengguna Threads, @ika.nikan85, berkongsi gambar kanak-kanak itu tekun menulis sepucuk surat untuk mengundang Anwar ke sekolahnya pada 14 November.
Menerusi hantaran tersebut, wanita berkenaan memaklumkan dia cuba membantu menyampaikan hasrat anak kecil itu dengan berkongsi surat berkenaan di Threads supaya jemputannya sampai kepada Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE
















