AB RAUF dan isteri, Zuriyah selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Alor Gajah, pagi tadi.

‘Pagi ini sebelum pukul 9, sudah lebih 500 orang datang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh melahirkan rasa berpuas hati selepas dilaporkan lebih 500 pengundi telah hadir ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di sini sebelum pukul 9 pagi.

Ketua Menteri itu berkata, jumlah kehadiran itu menunjukkan sambutan yang menggalakkan daripada pengundi yang keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini

“Saya amat berpuas hati. Pagi ini sebelum pukul 9, saya dimaklumkan sudah lebih 500 orang yang datang.

“Terima kasih banyak-banyak warga Melaka, terima kasih banyak-banyak warga Tanjung Bidara,” katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bersama isterinya, Datin Seri Zuriyah Abd. Aziz.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu tiba di pusat mengundi kira-kira pukul 8.15 pagi sebelum membuang undi sekitar 8.35 pagi.

Beliau turut memuji kelancaran proses pengundian yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, urusan pengundian berjalan dengan teratur dan tidak menyusahkan pengundi yang hadir untuk melaksanakan tanggungjawab.

“Saya lihat tugas yang dijalankan oleh pegawai SPR memang teratur dan tidak menyusahkan pengundi yang datang. Ini satu usaha yang baik bagi memudahkan rakyat datang mengundi,” katanya.

Beliau menyeru pengundi yang belum menunaikan tanggungjawab supaya keluar mengundi seawal mungkin berikutan jangkaan hujan pada sebelah petang.

“Saya harapkan kalau boleh sebelah pagi ini keluarlah secepat mungkin kerana mengikut ramalan cuaca, sebelah petang dijangka hujan.

“Tetapi apa juga sekali pun, kita telah menyediakan kemudahan untuk membantu mereka ketika hujan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN