Kim Soon menyarankan pemilik kenderaan mendapatkan perlindungan tambahan insurans banjir bagi melindungi aset mereka daripada kerugian akibat bencana itu.

23 juta kenderaan tiada insurans banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebanyak 87 peratus daripada kira-kira 26.6 juta pemilik kende­raan aktif di negara ini berdepan risiko menanggung kerugian besar apabila mereka tidak mengambil perlindungan insurans banjir terutama bagi menghadapi musim tengkujuh ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, berdasarkan data terkini pihaknya, kadar pengambilan perlindu­ngan khusus bagi risiko banjir dalam kalangan pemilik kenderaan masih berada pada tahap membimbangkan iaitu hanya 13 peratus atau sekitar 3.4 juta.

Kim Soon

Menurutnya, situasi tersebut berpunca daripada salah faham ramai pengguna yang menyangka polisi insurans kenderaan komprehensif (first party) sedia ada sudah memadai untuk melindungi aset mereka daripada bencana alam.

“Kesilapan terbesar pengguna adalah menganggap polisi insurans kenderaan komprehensif merangkumi semua jenis kerosakan.

“Hakikatnya, perlindungan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan ribut hanya­lah tambahan pilihan (add-on) di bawah Perlindungan Bencana Khas (Special Perils),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Berdasarkan rekod Kemen­terian Pengangkutan, Malaysia mempunyai 40.77 juta kende­raan berdaftar dengan 26.6 juta ­daripadanya­ berstatus aktif di atas jalan raya, merangkumi hampir 16 juta kenderaan dan 9.57 juta motosikal.

Kim Soon berkata, ketiadaan perlindungan tambahan menyebabkan majoriti pemilik ken­deraan aktif berkenaan terpaksa mengeluarkan wang simpanan sendiri sehingga mencecah puluhan ribu ringgit bagi menanggung kos baik pulih sekiranya kende­raan ditenggelami air.

Mengulas mengenai tanggapan orang ramai bahawa kos perlindungan tambahan itu mahal, beliau menegaskan kadar sebenarnya amat berpatutan berbanding risiko kerugian yang bakal ditanggung pemilik kende­raan.

“Bagi kenderaan bernilai RM100,000, tambahan Special Perils hanya sekitar 0.2 hingga 0.5 peratus atau bersamaan RM200 hingga RM500 setahun, iaitu kira-kira RM17 hingga RM42 sebulan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar segera menyemak semula polisi insurans masing-masing dan menambah perlindungan Special Perils sebelum kenderaan mereka ditenggelami air.

Dalam pada itu, data Persatuan­ Insurans Am Malaysia (PIAM) menunjukkan Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan kerugian insurans kenderaan tertinggi tahun lalu.

Kim Soon berkata, Selangor mencatatkan kerugian sebanyak RM1.6 juta bagi kategori insurans kenderaan, diikuti Kuala Lumpur dengan RM967,700 dan Johor sebanyak RM844,100.

Bagi kategori insurans kebakaran melibatkan hartanah pula, Sarawak merekodkan kerugian tertinggi berjumlah RM38 juta, diikuti Johor (RM32.3 juta) dan Selangor (RM21.9 juta).

“Perkembangan ini menunjukkan risiko banjir bukan lagi tertumpu di kawasan rendah atau luar bandar, sebaliknya turut mengancam kawasan-kawasan bandar yang pesat membangun,” katanya.

Menurut beliau, pemilik ­kenderaan juga perlu memahami setiap prosedur kecemasan ketika berdepan banjir kerana tindakan yang salah boleh memburukkan kerosakan dan menjejaskan kelancaran proses tuntutan insurans.

“Antara kesilapan yang perlu dielakkan ialah menghidupkan semula enjin kenderaan selepas ditenggelami air kerana tindakan itu boleh menyebabkan air memasuki komponen enjin atau water ingestion, sekali gus meng­a­kibatkan kerosakan mekanikal lebih serius.

“Pemandu juga disarankan supaya tidak mengalihkan ken­deraan sebelum merakam gambar atau video sebagai bukti kedudukan kenderaan dan paras air banjir bagi membantu proses penilaian tuntutan,” katanya.

Selain itu, Kim Soon berkata, pemilik kenderaan perlu menghubungi talian kecemasan syarikat insurans atau menggunakan aplikasi bantuan tepi jalan untuk mendapatkan khidmat trak tunda ke bengkel panel yang sah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN