PASIR PUTEH – Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa bertindak bagi menangani kehadiran sekumpulan 10 ekor anjing liar yang mengganggu dan mengancam keselamatan pengunjung di Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini.
Khairudin Ahmad, 34, berkata, gesaan itu ekoran terdapat kejadian pengunjung termasuk kanak-kanak dikejar anjing ketika beriadah bersama keluarga.
“Apabila ternampak kumpulan anjing menyalak, pengunjung yang sedang beriadah terpaksa mengubah laluan dan menjauhkan diri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Jangan biar masalah ini berlarutan kerana kawasan pantai ini merupakan lokasi tumpuan utama penduduk setempat dan pelancong,” katanya.
Abdullah Awang, 50, pula berkata, orang ramai bimbang haiwan yang dipercayai dibuang dan semakin membiak di kawasan itu akan bertindak agresif sehingga menyerang pengunjung.
Katanya, PBT sepatutnya menjalankan operasi pengurusan anjing liar dengan segera sebelum berlaku kejadian tidak diingini yang boleh menjejaskan imej Pantai Bisikan Bayu sebagai destinasi pelancongan.
















