MILAN – Itali merampas kedudukan di puncak saingan Kumpulan A1 Liga Negara-Negara Eropah (UNL) daripada Perancis selepas menewaskan pasukan itu 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di San Siro awal pagi semalam.
Walaupun ketinggalan 0-1 seawal minit ke-10 menerusi jaringan Michael Olise, namun The Azzurri melakukan kebangkitan hasil dua gol Pio Esposito serta satu jaringan dilakukan Davide Frattesi.
Jurulatih Itali, Roberto Mancini gembira dengan kemenangan tersebut, namun tetap memberikan kepada anak-anak buahnya supaya tidak terlalu selesa kerana mereka perlu berdepan Belgium selepas ini.
“Satu prestasi yang sangat baik daripada semua pemain dan saya tumpang gembira untuk semua penyokong. Saya harap mereka menikmati perlawanan serta kemenangan yang dilakar malam ini (semalam).
“Kami bolos satu gol dan ia adalah kesilapan yang boleh dielakkan. Bagaimanapun, kami kekal tenang dan bermain seperti biasa kerana saya tahu Perancis mampu untuk ‘membinasakan’ kami,” katanya.
Kemenangan itu juga boleh dianggap sebagai keputusan yang cukup berharga memandangkan kali terakhir Itali menewaskan Perancis di laman sendiri kira-kira 64 tahun lalu.
“Kemenangan hari ini (semalam) memberikan banyak makna kepada kami tetapi ia masih belum mencukupi. Kami akan pergi ke Belgium selepas ini dan perlu pastikan tiga mata dibawa pulang,” ujar Mancini. – AGENSI
















