GUA MUSANG – Kegiatan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan upah RM300 bagi setiap individu terbongkar selepas seorang lelaki tempatan ditahan ketika membawa tujuh warga Myanmar di Kilometer 10, Jalan Sungai Terah, di sini, semalam.
Lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai mengambil kesemua warga asing berkenaan di sekitar Pasir Mas sebelum membawa mereka ke Kuala Lumpur menggunakan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kegiatan itu dikesan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang ketika menjalankan rondaan cegah jenayah kira-kira pukul 10.50 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa tujuh penumpang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 39 tahun.
“Kesemua penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan.
“Polis menahan pemandu dan kesemua penumpang bagi membantu siasatan selain merampas sebuah Perodua Aruz serta telefon bimbit untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Choon Foo berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak lain yang turut terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama. – KOSMO! ONLINE
















