WENGER (kiri) sedia menentang Infantino pada pemilihan Presiden FIFA tahun depan dan mahu memansuhkan cadangan penjualan komersial Piala Dunia. - AFP

Wenger intai ‘kerusi panas’ FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIS – Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger dilaporkan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mencabar Gianni Infantino bagi merebut jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada pemilihan tahun depan.

Jurulatih berpengalaman itu dikatakan sedang meneliti secara serius peluang untuk menawarkan diri merebut jawatan Presiden FIFA selepas diberikan harapan besar oleh beberapa tokoh berpengaruh bola sepak Eropah, sejak beberapa minggu lalu.

Infantino masih mendapat sokongan daripada beberapa konfederasi termasuk Amerika Selatan, Afrika dan Asia, malah sebelum ini mendakwa memiliki sokongan majoriti besar komuniti bola sepak dunia.

Bagaimanapun, ujian sebenar bakal dihadapi oleh Infantino sekiranya Wenger yang juga Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA menawarkan diri untuk bertanding kerana dijangka akan mendapat sokongan padu daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Perkembangan tersebut hadir ketika kedudukan Infantino mula berdepan tekanan susulan kontroversi cadangan menjual kepentingan komersial Piala Dunia kepada pelabur swasta.

“Saya tidak terlibat dalam pelan strategik ini dan hanya mengetahui tentang projek tersebut melalui laporan media. Keputusan untuk menarik balik projek itu sememangnya perlu dan tidak perlu dipersoalkan lagi.

“Saya amat yakin dengan sebuah FIFA sebagai badan bebas untuk melaksanakan komitmen dengan penuh telus dan penuh berintegriti,” kata Wenger mengulas tentang idea yang diketengahkan oleh Infantino.

Sebelum ini, bekas pertahanan Tottenham Hotspur, Ramon Vega menjadi individu pertama mengumumkan hasrat bertanding, disusuli Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kozo Tashima. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN