SEORANG lelaki Palestin mengendong jenazah seorang kanak-kanak yang terbunuh bersama dua yang lain dalam serangan Israel yang menyasarkan kawasan kejiranan Al-Remal di Bandar Gaza baru-baru ini. - AFP

Gaza terus diserang rejim Israel, tujuh nyawa terkorban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GAZA – Sekurang-kurangnya tujuh terkorban selepas tentera Israel melancarkan siri serangan terbaharu di beberapa kawasan sekitar Semenanjung Gaza.

Pertahanan Awam Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas memaklumkan, dua mangsa, termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, terbunuh dalam serbuan tentera Israel di kawasan kejiranan Zeitoun, Bandar Gaza.

Dalam insiden berasingan di bandar yang sama, tiga individu maut apabila sebuah bengkel tukang besi dibedil, manakala seorang lagi terkorban selepas serangan udara mengenai sebuah khemah yang menempatkan penduduk hilang tempat tinggal.

Sementara itu di bahagian selatan wilayah berkenaan, agensi berkenaan memberitahu agensi berita AFP bahawa seorang lagi mangsa maut akibat tembakan tentera Israel berhampiran Khan Younis.

Laporan kematian membabitkan ketujuh-tujuh mangsa turut disahkan oleh pihak hospital yang menerima jenazah mereka.

Ketika dihubungi AFP, pihak tentera Israel sekadar menyatakan pasukannya telah menyasarkan ‘anggota operasi ketenteraan’ di beberapa lokasi, tanpa memberikan perincian lanjut mengenai serangan tersebut.

Perkembangan berdarah ini menyaksikan Israel dan Hamas terus saling menuding jari berhubung pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025. 

Perjanjian tersebut sebelum ini dicapai susulan perang berlarutan selama dua tahun yang tercetus akibat serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza yang disahkan boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,590 rakyat Palestin terkorban sejak gencatan senjata dikuatkuasakan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN