NILAI – Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta yang dipercayai membawa seorang kanak-kanak lelaki sebelum mangsa terjatuh di atas jalan raya selepas berpaut pada pintu belakang kenderaan itu dalam kejadian di kawasan Tol Nilai.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya turut berusaha mengesan kanak-kanak tersebut serta warisnya bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut Johari, terdahulu pihak polis menerima laporan berhubung penularan sebuah video di media sosial @Threads berdurasi kira-kira seminit pada pukul 11.02 malam semalam memaparkan seorang kanak-kanak lelaki terjatuh dari sebuah kereta dipercayai dirakam dari kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain.
Beliau berkata, berdasarkan hasil siasatan, pihak polis telah mengenal pasti pemilik rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan kejadian tersebut.
“Pegawai penyiasat telah menghubungi individu berkenaan bagi mendapatkan keterangan serta rakaman asal kejadian. Bagaimanapun, setakat ini masih belum menerima sebarang maklum balas.
“Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik pemilik dashcam di media sosial, waris kanak-kanak tersebut dipercayai bapa mangsa telah berpatah balik dengan berjalan kaki untuk mendapatkan semula kanak-kanak itu kerana lokasi kejadian jauh dari kawasan pusingan U,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE
















