PETALING JAYA – Projek Ternakan Ayam Organik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Pulau Teluk Renjuna, di sini, berjaya membantu 22 peserta tempatan meningkatkan pendapatan keluarga menerusi sumber ekonomi tambahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat, malah menjadi sumber pendapatan alternatif khususnya ketika musim tengkujuh yang lazimnya menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk.
Menurutnya, meskipun projek itu masih baharu dilaksanakan, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila lebih 2,000 ekor ayam berjaya dijual, sekali gus membuktikan permintaan tinggi terhadap hasil ternakan berkenaan.
“Alhamdulillah, walaupun projek ini baru sahaja digerakkan, lebih 2,000 ekor ayam berjaya dijual dan permintaannya juga sangat tinggi.
“Ini satu perkembangan yang amat positif kerana ia membuktikan usaha yang dilaksanakan mampu memberikan pulangan ekonomi kepada peserta terlibat,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan projek itu turut mencerminkan komitmen kerajaan menerusi pendekatan #MadaniMembantu dalam memperkasa ekonomi komuniti dan ummah.
Katanya, projek berkenaan memberi penekanan kepada aspek bimbingan, sokongan serta sumbangan modal bagi memastikan penduduk setempat berpeluang membina sumber pendapatan yang lebih mampan. – KOSMO! ONLINE
















