KOTA BHARU – Sebanyak 162 pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kelantan sudah menerima bekalan makanan dan keperluan asas mangsa banjir bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bah dalam tempoh terdekat.
Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, perrsiapan awal itu membolehkan bekalan disalurkan segera kepada mangsa banjir tanpa perlu menunggu penghantaran dari depot utama terutama apabila laluan perhubungan terputus akibat kenaikan air.
Katanya, JKM Kelantan sudah menyelesaikan penghantaran 100 peratus bekalan ke semua pangkalan hadapan berkenaan pada bulan lalu.
“Bekalan tambahan akan diagih sekiranya jumlah mangsa banjir meningkat dan memerlukan penambahan stok di pusat pemindahan sementara (PPS). Kita menjangkakan bekalan untuk mangsa banjir mencukupi kerana stok barangan masih banyak walaupun penghantaran ke semua pangkalan hadapan sudah dilakukan.
“Selain itu, kita mempunyai 127 pembekal barangan di seluruh negeri bagi memastikan bekalan dapat diperoleh dan dihantar dengan segera apabila diperlukan,” katanya pada sidang akhbar di Depot JKM di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Che Samsuzuki memberitahu, persediaan bekalan makanan dan kelengkapan diri itu dijangka mampu menampung keperluan kira-kira 60,000 mangsa banjir di 451 PPS di seluruh negeri.
Katanya, persiapan berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM1 juta daripada kerajaan negeri. – KOSMO! ONLINE
















