PETALING JAYA – Datuk Zaiton Mohd. Hassan menempa sejarah apabila menjadi wanita Melayu pertama dilantik sebagai Presiden Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) yang kini mempunyai lebih 266,000 ahli di 179 negara.
Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, pengalaman luas serta komitmen berterusan beliau dalam memperkukuh profesion perakaunan dan memperluas akses kepada pendidikan serta peluang kerjaya dalam bidang tersebut.
Katanya, Zaiton turut memainkan peranan penting dalam memperjuangkan akses yang lebih inklusif kepada profesion perakaunan, khususnya bagi golongan muda daripada latar belakang berpendapatan rendah.
“Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC merupakan pemimpin kewangan yang berpengalaman dalam bidang audit, perbankan dan tadbir urus.
“ACCA yang bakal mempunyai 546,000 ahli telah memperoleh pemimpin yang sering memainkan peranan yang lebih strategik dalam organisasi dan ekonomi global,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Zaiton berkata, pelantikan itu merupakan satu penghormatan besar buat dirinya.
“Saya memilih profesion ini kerana ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang sanggup berusaha, tanpa mengira latar belakang, dan menyaksikan ia mampu mengubah kehidupan individu serta komuniti.
“Kelayakan ACCA yang direka semula akan terus mengekalkan laluan akses terbuka dan membantu mengubah landskap pendidikan perakaunan di seluruh dunia,” katanya.
Menurut Zaiton, ia mempersiapkan generasi akan datang untuk menghadapi profesion yang semakin dipacu oleh teknologi, dengan memberi ruang kepada akauntan untuk melaksanakan tugas yang mempunyai nilai lebih tinggi.
“Dunia memerlukan akauntan lebih daripada sebelumnya, sebagai pemudah cara teknologi baharu, peneraju perniagaan mampan dan penggerak nilai sosial,” katanya.
















