MUAR – Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga maut, manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar penghadang besi jalan di Jalan Muar-Labis, Bukit Kepong, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun yang juga pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya yang berusia 14 tahun dan menunggang motosikal berkenaan cedera.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja terbabit menaiki motosikal Suzuki RU120LU dari Kampung Raja, Bukit Kepong, menghala ke Felda Chempelak, Labis.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi jalan.
“Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Penunggang motosikal pula mengalami kecederaan di tangan dan lutut sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, untuk rawatan lanjut.
“Siasatan awal turut mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
















