KUALA LANGAT – Dendam dipercayai mencetuskan serangan maut apabila seorang lelaki mati ditetak sekumpulan lelaki dalam kejadian di Banting, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 12.01 tengah malam.
Katanya, mangsa yang maut merupakan lelaki tempatan berusia 20-an.
“Susulan itu, polis kemudiannya berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an di sekitar Banting bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati punca kejadian akibat dendam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222. – KOSMO! ONLINE
















