IPOH – Kehilangan bapa akibat Covid-19 ketika berusia 18 tahun bukan penghalang buat Lim Mei Zhen, 23, untuk meraih Anugerah Emas Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) Ke-26, hari ini.
Anak ketiga daripada empat beradik dari Bahau, Negeri Sembilan itu berkata, pemergian bapanya memberi kesan besar dalam kehidupannya, terutama ketika dia masih memerlukan sokongan keluarga untuk meneruskan pengajian.
Selepas kehilangan bapa, Mei Zhen dan adik-beradiknya mendapat tempat berlindung apabila ibu saudara serta bapa saudaranya mengambil mereka tinggal bersama keluarga berkenaan.
“Walaupun saya kehilangan rumah pertama, mereka memberikan saya rumah kedua untuk kembali,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UTP ke-26 di sini, hari ini.
Menurutnya, kasih sayang dan pengorbanan pasangan itu menjadi sumber kekuatan untuknya meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian di UTP, sekali gus memperoleh Kepujian Kelas Pertama.
Mei Zhen berkata, dia pernah terfikir untuk bekerja bagi membantu keluarga selepas kematian bapanya, namun menyedari pendidikan merupakan jalan penting untuk mengubah masa depan.
“Apabila saya melihat abang saya berjaya memperoleh ijazah walaupun berdepan kekangan kewangan, ia terus memberi semangat kepada saya untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Bukan itu sahaja, dengan bantuan biasiswa penuh dari Yayasan UTP, saya dapat menamatkan pengajian selama lima tahun tanpa perlu terlalu dibebani soal kewangan.
“Terima kasih kepada Yayasan UTP dan semua penyumbang yang menaja pengajian saya. Dengan bantuan itu, saya dapat meneruskan pengajian dan mencapai kecemerlangan dalam perkara yang saya lakukan,” katanya.
Sepanjang pengajian, Mei Zhen turut aktif dalam penyelidikan apabila menghasilkan kajian menggunakan sisa kacang kuda untuk membangunkan bahan flokulan berasaskan biopolimer semula jadi bagi proses penuaian mikroalga sebagai alternatif lebih lestari kepada bahan kimia.
Kajian itu mencatatkan kecekapan penuaian sebanyak 96.15 peratus dan dibentangkan pada persidangan antarabangsa berkaitan sumber air, selain bakal diterbitkan dalam siri penerbitan Lecture Notes in Civil Engineering oleh Springer Nature.
Selain akademik, Mei Zhen turut mengasaskan perniagaan M&A Borderless Trading bersama rakan sebiliknya dari Sudan Selatan bagi membekalkan pakaian profesional dan rambut palsu kepada golongan pekerja di Sudan Selatan serta Uganda.
Keprihatinannya terhadap masyarakat turut diterjemahkan menerusi usaha memberikan kelas Bahasa Inggeris secara percuma dalam talian menggunakan platform Zoom, dua kali seminggu kepada kira-kira 20 hingga 30 pelajar sekolah menengah dengan kerjasama bekas pelajar senior dari sekolahnya.
Menurut Mei Zhen, inisiatif itu bertujuan membantu pelajar luar bandar meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan berbahasa Inggeris supaya mereka lebih berani merebut peluang pada masa hadapan.
Beliau yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 3.80 daripada 4.00 berkata, kejayaan itu bukan hanya untuk dirinya, malah menjadi penghargaan kepada insan yang banyak berkorban sepanjang perjalanan pendidikannya.
“Saya berhasrat untuk memulakan kerjaya dalam sektor kewangan, selain mahu bekerja keras untuk membalas jasa ibu saudara dan bapa saudara saya, khususnya membantu menampung kos pembedahan lutut ibu saudara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















