Tangkap layar kemunculan seekor buaya dalam saliran air di hadapan Hospital Seberang Jaya, kelmarin.

Tiada tanda buaya di saliran Hospital Seberang Jaya – ADUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI -Tiada sebarang kesan atau tanda kehadiran buaya ditemukan di saliran air di hadapan Hospital Seberang Jaya di sini, susulan penularan gambar yang mendakwa kelibat reptilia itu dikesan di lokasi berkenaan, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah berkata, tinjauan dan siasatan awal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati tiada sebarang bukti yang mengesahkan kehadiran buaya di saliran tersebut.

Menurutnya, beliau bersama Ketua Perhilitan Daerah serta pasukan agensi itu turun ke lokasi pagi semalam bagi meninjau keadaan saliran air berkenaan.

“Pihak Perhilitan sudah mula buat tinjauan dan siasatan sejak petang semalam lagi (kelmarin), dan akan diteruskan.

“Antara dapatan awal yang dimaklumkan kepada saya ialah buaya dalam gambar yang tular itu tidak mempunyai nuchal scute, iaitu sisik keras pada bahagian tengkuk belakang buaya.

“Kedudukan dan tingkah laku haiwan itu ketika berendam dalam air juga tidak selari dengan sifat semula jadinya, manakala pantulan cahaya pada mata seperti dalam gambar berkenaan tidak sepadan dengan keadaan pencahayaan waktu siang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, sekiranya gambar berkenaan dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), perbuatan itu amat tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan kegusaran orang ramai, khususnya berkaitan keselamatan awam.

Katanya, sistem saliran di kawasan bandar saling berhubung dengan kawasan perumahan, taman awam dan lokasi tumpuan orang ramai, sekali gus menjadikan dakwaan sedemikian sesuatu yang perlu ditangani secara serius.

“Jadi, buat masa ini, tak perlulah terlalu risau atau gusar. Setakat tinjauan dan siasatan yang dibuat, belum ada bukti yang mengesahkan kehadiran buaya di lokasi tersebut. Namun, teruslah berwaspada.

“Kalau ada penampakan haiwan seperti ini selepas ini, jangan ambil gambar saja. Kalau keadaan selamat, cuba rakam video sekali dari jarak jauh dan terus laporkan kepada Perhilitan,” tambahnya.

Kelmarin, Kosmo! Online melaporkan kemunculan imej yang memaparkan kelibat seekor buaya di dalam saliran air di hadapan Hospital Seberang Jaya mencetuskan persoalan mengenai kesahihan kehadiran reptilia itu di kawasan berkenaan.

Imej yang tular di media sosial itu telah mengundang pelbagai reaksi pengguna, malah ada yang mendakwa tidak pernah melihat kelibat buaya di lokasi tersebut sebelum ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN