fbpx
Perkongsian orang ramai yang merasai gegaran sebentar tadi.

Penduduk Melaka, Johor, Lembah Klang rasai gegaran tiga saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 di perairan Batu Pahat, Johor petang tadi menyebabkan berlaku gegaran yang dirasai penduduk di sekitar Johor, Melaka dan Lembah Klang.

Gegaran kira-kira tiga saat itu dikongsikan orang ramai menerusi beberapa hantaran di media sosial.

Mereka turut mengakui terkejut selepas mendapati rumah, bangunan pejabat dan perabot bergegar.

“Saya tinggal di PJ (Petaling Jaya) memang rasa katil bergegar tadi, tak lama…beberapa saat saja. Rumah saya di tingkat tiga,” kongsi seorang pengguna.

“Korang (kalian) yang tinggal kawasan Kajang, ada rasa tak gegaran tadi? Kuat,” kongsi Syu Mokhtar.

“Kawan pejabat kata ada gegaran tadi. Bergoyang lampu. Pejabat di Puchong,” kata Fahmi Salihan dalam hantaran di Threads.

“Di Melaka ada rasa gegaran tadi. Ada gempa bumi. Rasa bergegar tadi. Kalian dapat rasa tak?,” soal @fizzkhld.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, gempa bumi lemah itu berlaku pada koordinat 1.7 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur.

Menurut MetMalaysia, pusat gempa terletak kira-kira 27 kilometer barat daya dari Batu Pahat dengan kedalaman 10 kilometer.

“Gegaran dirasai di Batu Pahat dan kawasan sekitarnya,” katanya.

MetMalaysia berkata, pihaknya akan terus memantau situasi tersebut dan meminta orang ramai yang merasai gegaran supaya mengisi borang soal selidik yang disediakan bagi mendapatkan maklumat mengenai kesan gegaran di lokasi masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN