KUALA LUMPUR – Dua lelaki masing-masing pemegang pasport Kanada dan Australia dipercayai dalang sindiket memproses dan mengedar dadah ditumpaskan pihak berkuasa menerusi Op Rumbia baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 11 individu berusia 25 hingga 48 tahun ditahan dalam enam serbuan di sekitar Lembah Klang.
“Daripada 11 suspek yang ditahan, dua daripada mereka adalah warga asing dan merupakan ketua sindiket yang juga berperanan sebagai ‘chemist’ (ahli kimia).
“Semakan mendapati pemegang pasport Australia dipercayai merupakan warga Vietnam, manakala seorang lagi yang memiliki pasport Kanada disyaki warga Korea Selatan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Hussein, kedua-dua suspek memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, manakala bahan mentah yang digunakan untuk memproses dadah juga dipercayai diperoleh dari luar negara.
Beliau berkata, serbuan pertama di sebuah rumah banglo di Ampang membawa kepada penemuan 345 kilogram (kg) serbuk disyaki methamphetamine dan 347 kg cecair methamphetamine, selain 320 gram serbuk MDMA.
“Polis turut menemui sepucuk pistol revolver .38 bersama tujuh butir peluru hidup serta pelbagai mesin dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
“Serbuan kedua pula membabitkan sebuah kondominium di sekitar Petaling yang menemukan 30.5 kg serbuk MDMA, 20 gram ganja dan 63 gram pil Erimin 5,” ujarnya.
Hussein berkata, serbuan ketiga hingga keenam dijalankan di sekitar Kepong dan Brickfields, Kuala Lumpur manakala serbuan premis kelima di Subang Jaya, Selangor dipercayai sedang disiapkan sebagai makmal dadah.
Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM35.24 juta. Sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu dan menjadikan banglo sebagai makmal memproses dadah.
“Dadah yang dirampas melebihi keperluan pasaran tempatan dipercayai disasarkan untuk pasaran antarabangsa. Antara laluan yang dikenal pasti termasuk ke Indonesia dan Filipina selain beberapa negara lain melalui laluan udara,” katanya.
Polis merampas 11 buah kenderaan, seutas jam tangan jenama Audemar Piguet bernilai lebih RM1 juta, dua kad bank dan wang tunai RM3,610. Lima suspek direman, manakala enam lagi dibebaskan dengan jaminan polis dan dijadikan saksi. – KOSMO! ONLINE
















