SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan yang dikeluarkan semalam berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dan diputuskan secara sebulat suara semua Ahli Exco Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Exco pada 15 September lalu.
“Pada hari ini, saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang dibincangkan dan diputuskan oleh semua ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri secara sebulat suara pada Mesyuarat Exco pada 15 September lalu.
“Proses pewartaan sudah pun diminta Exco dan Setiausaha Kerajaan akan meneruskan pewartaan ini mengikut peraturan sedia ada. Itu sahaja. Terima kasih,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Ismail menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan, Bantuan Komputer Riba dan Gimik Penyerahan Replika Kad Sim CelcomDigi di Seremban hari ini.-KOSMO! ONLINE
















