SHAH ALAM – Penggunaan kad kuasa dari negara luar antara taktik baharu sindiket penipuan yang berjaya dibongkar dalam lima serbuan berasingan di negeri ini, baru-baru ini.
Operasi pada 18 hingga 20 Ogos lalu itu membabitkan lima pusat panggilan scam di Shah Alam, Kajang, Sungai Buloh dan Subang Jaya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan berkenaan membawa kepada penahanan 40 individu termasuk lima wanita berusia 21 hingga 57 tahun yang bertindak sebagai operator sindiket.
Katanya, lima sindiket itu didapati menjalankan penipuan love scam, phone scam dan langganan video lucah dengan menyewa kondominium, banglo, semi-D dan teres dua tingkat sebagai markas mereka.
“Kesemua sindiket yang digempur tidak mempunyai kaitan antara satu lain dan mula aktif sejak pertengahan tahun ini.
“Namun, sindiket love scam dan phone scam dikesan menggunakan kad kuasa sebagai taktik baharu untuk memperdaya mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kad kuasa itu dari salah sebuah negara di Asia Timur namun semakan silang sedang dijalankan dalam menentukan kesahihannya.
Tambahnya, seramai 37 warga asing yang menganggotai sindiket itu memasuki negara pertengahan tahun ini dengan menggunakan pas pelancong.
“Kumpulan sindiket ini menyasarkan mangsa dari Taiwan, China, Jepun dan Hong Kong.
“Bagi penipuan langganan video lucah itu didapati membabitkan video luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Shazeli berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan sindiket bernilai kira-kira RM165,000 selain 10 buku skrip penipuan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














