KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas kereta dinaiki bersama bapanya terlibat dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Jalan Kuching, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, mangsa yang menaiki kereta Perodua Bezza cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika aliran trafik bergerak perlahan.
“Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dilanggar dari arah belakang oleh kereta BYD Seal dan pelanggaran tersebut turut melibatkan sebuah motosikal.
“Kereta dinaiki mangsa kemudian berpusing ke lorong kanan dan melanggar pula tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu Perodua Bezza mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di bahagian kepala. Mereka menerima rawatan di HKL.
“Pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard dan pemilik Perodua Myvi iaitu wanita masing-masing berusia 37 dan 30 tahun tidak cedera,” ujarnya.
Mohd Zamzuri berkata, pihaknya berjaya mengesan pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi selepas kemalangan tersebut.
Katanya, pemandu tersebut kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kecederaan gegaran otak dan masih dalam pemantauan pegawai penyiasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














